UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Lawatan kebajikan wujud hubungan baik majikan dan staf UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Ku Mohd Nizam Ku Mansor/UUM Today

SINTOK: Dalam pekerjaan, pekerja dan majikan saling berkait dan memerlukan di antara satu sama lain bukan sahaja meliputi tugas dan tanggungjawab, malahan aspek kebajikan.

Sehubungan itu, bagi mengekalkan keharmonian antara majikan dan staf, Unit Kebajikan Jabatan Pendaftar telah mengadakan siri lawatan kebajikan terhadap staf yang menghadapi masalah kesihatan di kediaman masing-masing, baru-baru ini.

Ketua Penolong Pendaftar, Unit Kebajikan, Mohd Yusnaidi Md. Sabri berkata, lawatan kebajikan staf itu merupakan aktiviti bulanan unit berkenaan sekiranya terdapat staf yang terlantar sakit dan tidak dapat hadir bekerja.

Menurutnya, setiap kali mengunjungi staf terlibat, pihaknya akan bertanyakan khabar, memaklumkan maklumat pentadbiran seperti cuti, cuti sakit, insuran kesihatan dan juga menyampaikan bakul ukhuwah  di bawah seliaan Jawatankuasa Pengurusan Kebajikan Majlis Kebajikan Sukan dan Kebudayaan (MKSK).

“Lawatan kebajikan ini secara tidak langsung merapatkan hubungan antara majikan dan pekerja dan melahirkan rasa kasih sayang sesama staf dan keluarga mereka,” katanya.

Lawatan Kebajikan Staf baru-baru ini melibatkan empat staf UUM iaitu Pengawal Keselamatan, Mohammad Yusri Mustafa yang mengalami patah bahu sebelah kanan; Pembantu Tadbir, Normiza Hussain yang menghidap kanser payu dara; Penolong Pegawai Tadbir, Firdiana Abdull Rahman@Faisol yang patah buku lali dan Pegawai Belia dan Sukan, Aizul Firdaus Musa yang baru menjalani pembedahan tulang.

Sementara itu, Normiza yang kini mendapatkan rawatan susulan di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UUM berterima kasih kepada pihak universiti atas lawatan kebajikan tersebut serta staf PKU yang telah memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang beliau mendapatkan rawatan di situ.

Normizan juga memaklumkan untuk menjalani pembedahan dengan kadar segera kerana tidak sanggup menanggung kesakitan terutamanya pada waktu malam.

“Kos rawatan mencecah RM20,000 dan rakan-rakan di KESKA dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar turut membantu menghulurkan bantuan kewangan bagi tujuan menampung kos perbelanjaan yang tinggi ini,” katanya. – Salmah Yusoff