UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Lawatan NC UUM ke UUMIT akui peranan IT

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar UUMIT/UUM Today

SINTOK, 29 Februari – Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan telah mengadakan lawatan kerja ke UUM Information Technology (UUMIT) pada 25 Februari lalu.

Kedatangan beliau telah disambut oleh Pengarah UUMIT, Prof. Madya Ts. Dr. Muhamad Shahbani Abu Bakar bersama pegawai-pegawai kanan UUMIT.

Dr. Mohd Foad dibawa ke Bilik Mesyuarat London untuk diberi taklimat mengenai perkembangan dan pelaksanaan pendigitalan UUM.   

Dalam ucapan beliau, Naib Canselor menegaskan betapa pentingnya peranan Teknologi Maklumat (IT) dalam usaha melaksanakan pendigitalan di UUM.

Menurutnya, trend prasarana IT yang mampan dapat meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran, serta secara langsung berpotensi untuk meningkatkan jumlah pendaftaran pelajar baru, seiring dengan usaha yang dilakukan oleh universiti-universiti lain.

“IT bukan sekadar satu keperluan, tetapi merupakan asas yang penting untuk memastikan prestasi dan kecekapan dalam pengurusan serta pengajaran di peringkat universiti.

“Dalam era digital ini, kita perlu terus berinovasi dan menggunakan teknologi untuk memastikan UUM sentiasa relevan dan berdaya saing,” katanya. 

Dr. Mohd Foad mendengar taklimat yang disampaikan oleh Dr. Mohamad Shahbani.

Sementara itu, Dr. Muhamad Shahbani turut memberikan laporan tentang pencapaian, pelaksanaan dan perancangan UUMIT dalam melaksanakan projek-projek RMK Ke-12 dalam RP2, RP4, dan RP5 untuk perancangan bagi tahun 2022 hingga 2030.

Beliau juga menekankan komitmen UUMIT dalam merealisasikan aspirasi untuk menjadikan UUM sebagai Kampus Pintar pada tahun 2026.

Selain itu, menurutnya, beberapa inisiatif IT penting dalam perancangan UUMIT turut dibentangkan termasuk peningkatan infrastruktur, pembangunan platform pembelajaran digital, penggunaan teknologi kecerdasan buatan, dan pemerkasaan latihan IT untuk kakitangan dan pelajar.

“Langkah-langkah keselamatan maklumat, penyelidikan dalam bidang IT, dan pembangunan aplikasi mobile juga menjadi fokus penting.

“Semua inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran dan pengajaran serta menjadikan universiti lebih mampan selaras dengan perkembangan teknologi dan UUMIT amat komited melaksanakan inisiatif tersebut,” katanya.

Naib Canselor turut dibawa untuk melawat Bilik IT Operation Center (IToC) sebelum mengakhiri lawatan beliau.

Lawatan Naib Canselor ini memberikan gambaran yang jelas terhadap komitmen UUM dalam memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan pengajaran, serta memperkuat status UUM sebagai institusi pendidikan bertaraf global.