UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Lawatan penandaarasan UPSI ke UUM bincang pengurusan penganjuran majlis

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Berita dan gambar Mohd Maliki A. Rahman/UUM Today

SINTOK, 23 Januari – Pusat Kokurikulum, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima lawatan penandaarasan daripada Pusat Kokurikulum Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.

Delegasi seramai 25 staf yang diketuai oleh Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Prof. Madya Dr. Mazuki Mohd Yasim itu bertujuan membincangkan pengurusan penganjuran Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam Ke-42 Tahun 2024 yang akan diadakan di UPSI.

Kedatangan mereka telah disambut mesra Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Dr. Za’im Ahmad dan staf-staf Pusat Kokurikulum UUM, serta wakil-wakil pusat tanggungjawab UUM yang lain.

Sesi perbincangan antara lain menyentuh beberapa perkara penting iaitu penyediaan kertas kerja pentauliahan, pembentukan jawatankuasa, pengurusan dan perancangan bajet, keperluan logistik dan penyenggaraan fasiliti serta infrastruktur, protokol majlis, penerbitan dan pencetakan, pengurusan jemputan, penginapan dan sajian, pengurusan keselamatan dan perubatan, serta cabaran dan keperluan lain dalam penganjuran istiadat pentauliahan.

Dr. Za’im berkata, beliau dan Pusat Kokurikulum amat berbesar hati untuk membantu serta berkongsi pengalaman dalam penganjuran istiadat pentauliahan tersebut, bersama wakil-wakil PTJ UUM yang turut hadir iaitu Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI), UUM Press, Jabatan Komunikasi Korporat (JKK), Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Pusat Penginapan Pelajar (SAC), Jabatan Keselamatan serta PALAPES UUM.

“Saya berharap lawatan dan perkongsian pengalaman ini berjaya mencapai matlamat dan dapat membantu dalam penganjuran istiadat pentauliahan oleh Pusat Kokurikulum UPSI,” katanya.