UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Lawatan sambil belajar ke Georgetown, tapak warisan dunia

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar SLCP/UUM Today

GEORGETOWN: Georgetown merupakan salah satu tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh UNESCO dan sesuai dengan subjek berkaitan warisan yang ada di dunia, seramai 70 pelajar Sejarah Gunaan dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) termasuk lima pelajar elektif daripada Program Ijazah Sarjana Muda Sastera Dalam Sastera Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif telah mengadakan lawatan sambil belajar ke daerah tersebut.

Sebanyak tiga kelas terlibat dalam program ini iaitu Pengenalan kepada Pengurusan Warisan, Khazanah Warisan Dunia dan Pengenalan kepada Sejarah Gunaan serta empat pensyarah dari SLCP iaitu Dr. Zulhilmi Paidi, Dr. Salmah Omar, Dr. Siti Alwaliyah Mansor dan Ismandi Wasli.

Dr. Zulhilmi berkata, program lawatan selama satu hari itu membawa pelajar ke empat lokasi yang menarik iaitu Kilang Craft Batik di Teluk Bahang, Rumah Kelahiran P. Ramlee, Street Art dan Padang Kota.

Menurutnya, tumpuan utama bagi lawatan ini semestinya di Kilang Craft Batik yang terletak di Teluk Bahang. Semasa di Kilang Craft Batik ini pelajar telah didedahkan dan diberi penerangan secara teliti berkaitan dengan batik.

“Penerangan yang diberikan oleh pengurus kilang batik ini meliputi proses pembuatan, bahan dan alatan yang digunakan, jenis batik yang ada dan cara penjagaan batik. Semua ini diterangkan dengan teliti kepada para pelajar dan semua proses seperti mencanting batik, menekap corak batik dengan menggunakan cop yang terdiri daripada pelbagai motif dan juga mewarna batik ini ditunjukkan oleh mereka yang berpengalaman di sana.

“Selepas melihat semua proses ini, pelajar diberikan peluang untuk mewarnakan batik yang telah disediakan. Apa yang menariknya ialah setiap corak batik bagi pelajar adalah berbeza dan telah direka mengikut nama setiap pelajar. Dengan adanya aktiviti mewarna batik ini, pelajar dapat merasai sendiri bagaimana proses mewarna batik di samping dapat menyerlahkan kreativiti dan bakat yang terpendam,” katanya.

Lawatan diteruskan dengan lokasi kedua iaitu Rumah Kelahiran P. Ramlee yang telah diletakkan di bawah penjagaan Arkib Negara Malaysia.

Terdapat dua skop pameran iaitu rumah kelahiran P. Ramlee dan juga Galeri P. Ramlee yang menempatkan koleksi karya beliau termasuk poster filem, pakaian alat muzik dan sejarah kehidupannya. Pelbagai trivia menarik berkaitan dengan Allahyarham P. Ramlee ini dapat diperoleh daripada pameran yang ada di dalam galeri tersebut.

Bahagian luar iaitu Rumah Kelahiran P. Ramlee ini telah dipamerkan bilik tidur dan ruangan dapur. Basikal lama kegemaran Allahyarham juga ada diletakkan di bawah rumah tersebut.

Lawatan diteruskan dengan melawat lokasi yang ketiga iaitu Street Art di mana pelajar dapat melihat pelbagai keunikan lukisan dan juga pelbagai hiasan yang dibuat dengan menggunakan barang terpakai. Pelbagai gerai dan kafe yang unik dan cantik juga menjadi tumpuan untuk bergambar kenangan.

Lokasi terakhir dituju ialah Padang Kota di mana pelajar dapat menyaksikan keunikan seni bina bangunan lama yang masih mengekalkan elemen semasa penjajahan British. Setibanya di Padang Kota, pelajar mengambil peluang untuk menikmati pemandangan yang cantik di tepi laut sambil menjamu selera di medan selera berdekatan.

Program lawatan sambil belajar ke Georgetown, Pulau Pinang ini memberikan pelbagai input yang menarik dan juga bermanfaat kepada pelajar.

Mereka dapat mempelajari banyak ilmu yang baharu berkaitan dengan proses pembuatan batik dan mendapat peluang untuk menghasilkan batik mengikut kreativiti mereka sendiri. Selain itu, lawatan ke Kilang Craft Batik ini juga membuka mata pelajar tentang keistimewaan yang ada dalam proses pembuatan batik itu sendiri. Bukan itu sahaja, pelajar juga dapat mengetahui dan melihat sendiri pelbagai keunikan seni bina dan budaya yang ada di Georgetown ini. – Nurin Batrisyia Nor Afendi