UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

‘Leadership Camp: One For All, All For Success’ perkasa kepimpinan pelajar sekolah menengah

Gambar SMMTC, INASIS Bank Rakyat/UUM Today

PENDANG: Bagi membantu meningkatkan kualiti kepimpinan dalam kalangan pemimpin pelajar sekolah, Pusat Pengajian Multimedia, Teknologi dan Komunikasi (SMMTC) dan INASIS Bank Rakyat, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan ‘Leadership Camp: One For All, All For Success’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang, baru-baru ini.

Pengarah program, Mior Aiman Fikri bin Mior Alwi berkata, kem kepimpinan ini bertujuan untuk menggilap bakat pemimpin pelajar terlibat untuk menjadikan mereka lebih yakin, berani dan mampu menghadapi sebarang cabaran dalam organisasi. 

Menurutnya, inisiatif mengadakan kem kepimpinan ini adalah sebagai medan perkongsian ilmu kepada warga SMK Sg. Tiang melalui Program Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) yang merupakan salah satu usaha kerajaan dalam memperkasakan komuniti di Kedah melalui pendidikan.

Katanya lagi, penglibatan pelajar universiti sebagai fasilitator menambah dimensi berharga kepada warga sekolah serta dapat memupuk kerjasama yang utuh antara komuniti di sekolah dan juga komuniti universiti. 

Pelajar SMK Sungai Tiang yang menyertai bengkel anjuran Pusat Pengajian Multimedia, Teknologi dan Komunikasi (SMMTC) dan INASIS Bank Rakyat, UUM.

Seramai 68 peserta terdiri daripada pengawas sekolah dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) mengikuti kem ini melalui Modul Kepimpinan, Komunikasi, dan Kerja Berpasukan. Ini sejajar dengan hasrat untuk membentuk generasi yang berkualiti, yang kelak akan menerajui tampuk kepimpinan negara.

Kem kepimpinan yang berlangsung selama dua hari itu telah dirasmikan oleh Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad. Hadir sama, Pengetua SMK Sg. Tiang, Sharipah Md Isa.

Sesi LDK, BACK-TO-BACK CHALLENGE

Sepanjang program, pelbagai aktiviti dijalankan seperti slot perkongsian yang disampaikan oleh pensyarah SMMTC, aktiviti melibatkan modul kepimpinan iaitu ‘Human Knot Challenge’, ‘Marshmallow Tower Challenge’, ‘Charades Challenge’, ‘Back-To-Back Drawing Challenge‘ dan ‘The Numbers Challenge’.

Selain itu, permainan yang menguji semangat kerja berpasukan peserta iaitu ‘Dinamika Games‘ dan ‘Balloon Tower‘. Aktiviti pemasangan khemah dan aktiviti latihan dalam kumpulan yang diadakan diharapkan dapat meningkatkan jati diri, moral serta menggalakkan tingkah laku beretika dan membentuk kompetensi kerja berpasukan dalam kalangan pemimpin pelajar.

Bersama mantan Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Dato’ Syeikh Ahmad Faisol Omar dalam sesi motivasi.

Hari terakhir kem kepimpinan telah dimeriahkan dengan kehadiran waris bagi pengisian slot motivasi yang bertajuk ‘Anakku bukan Sazali: Anak Pembina Kekayaan Keluarga’ telah disampaikan oleh mantan Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Dato’ Syeikh Ahmad Faisol Omar.

Majlis penutup telah dirasmikan oleh Pengetua INASIS Bank Rakyat, Dr. Nor Azura A. Rahman.