Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today
SINTOK: Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW diraikan penuh bermakna pada Majlis Penghayatan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Utara Malaysia (UUM), sekali gus memupuk kebersamaan antara setiap warga universiti.
Dimulakan dengan perarakan Maulidur Rasul seawal jam 8 pagi, lebih 1,000 warga UUM terdiri daripada staf dan pelajar mewakili 41 kontinjen berarak membawa sepanduk masing-masing sambil mengalunkan selawat dari pekarangan Varsity Mall menuju ke lokasi sambutan di Masjid Sultan Badlishah, UUM.
Turut menyertai perarakan ini ialah Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan bersama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti.

Dr. Mohd Foad berkata, sifat kebersamaan, kerjasama dan kepimpinan yang dipupuk melalui perarakan tadi perlu disemai di dalam diri setiap warga kampus.
Beliau juga menggalakkan seluruh warga universiti untuk memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad, memperingati dan menjadikan keperibadian baginda Rasulullah S.A.W sebagai teladan kehidupan.
“Kemuliaan, keutamaan dan kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W. dijelaskan melalui wahyu Ilahi termasuk ayat-ayat Al-Quran serta hadis-Nya yang mulia.
“Hal ini boleh kita garap bersama melalui penghayatan ke atas sirah kehidupan dan perjuangan baginda di sepanjang hayatnya.” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Marthada Mohamed.

Antara acara sepanjang majlis sambutan adalah Ceramah Perdana Maulidur Rasul oleh Fazrul Ismail (MyQuranTime) bertajuk ‘Rasullullah S.A.W dan Sifat Kepimpinannya: Kupasan Ayat 128 Surah At- Taubah’ dan penyerahan bantuan kebajikan iaitu Dana Infaq, kupon makan percuma dan sumbangan zakat.
Di samping itu, turut diadakan juga sesi penyampaian hadiah kepada Kontinjen Perarakan Berselawat Terbaik dimenangi oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC) bagi kategori staf, manakala Inapan Siswa Sime Darby bagi kategori pelajar dan Sepanduk Terbaik dimenangi oleh Jabatan Bendahari (kategori staf) dan Inapan Siswa TM bagi kategori pelajar.
Tokoh Maulidur Rasul UUM 1445H pula dianugerahkan kepada pensyarah dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Dr. Nursiha Alias bagi kategori staf, manakala kategori pelajar dianugerahkan kepada pelajar Sarjana Muda Pengurusan Acara, Mohammad Izwani Md Isa. – Nor Erna Jaslia Mohamad Adam