UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Letupan di masjid, sekurang-kurangnya 25 terbunuh dan 120 cedera

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar AP

PESHAWAR: Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan 120 cedera dalam letupan masjid di ibu pejabat polis di Pakistan semalam, kata seorang pegawai kerajaan tempatan.

“Saya berada di sini, di tempat kejadian dan kerja menyelamat sedang dijalankan.

“Lebih banyak mayat sedang dibawa keluar. Pada masa ini keutamaan kami adalah untuk menyelamatkan orang yang tertimbus di bawah serpihan,” kata Timbalan Pesuruhjaya Bandar Peshawar, Shafiullah Khan.

Seorang pegawai memaklumkan, kebanyakan mangsa adalah pegawai polis dan sehingga kini tiada pihak yang mengaku terbabit dalam kejadian pengeboman berkenaan.

Pegawai polis tempatan, Zafar Khan berkata, anggota penyelamat sedang berusaha membawa mangsa yang cedera ke hospital berdekatan dan mendakwa insiden itu seperti pengeboman berani mati, namun sehingga kini siasatan lanjut sedang dilakukan.

Khan berkata, terdapat juga mangsa yang sedang kritikal dan sudah dibawa untuk rawatan di hospital dan berkemungkinan jumlah kematian akan meningkat.

Orang ramai melihat runtuhan selepas letupan berlaku di masjid di saat orang ramai berkumpul untuk menunaikan solat Zohor. – Gambar Agensi

Pihaknya mengesyaki serangan itu dilakukan oleh Taliban Pakistan berikutan sebelum ini terdapat kejadian yang serupa berlaku di negara itu.

Taliban Pakistan yang dikenali sebagai Tehreek-e-Taliban Pakistan atau TTP adalah kumpulan berlainan dengan Taliban, namun kedua-dua kumpulan itu adalah sekutu rapat dengan Taliban Afghanistan.

Pemberontakan di Pakistan sudah dilancarkan oleh TTP sejak 15 tahun lalu yang memperjuangkan penguatkuasaan undang-undang Islam lebih ketat di negara itu, pembebasan anggota mereka yang berada dalam tahanan kerajaan dan pengurangan kehadiran tentera Pakistan di kawasan bekas suku kaum di negara itu – AP