Gambar TISSA/UUM Today
SINTOK: Pemeteraian Surat Hasrat (LoI) antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Zubir Chang & Co. PLT membuka ruang kepada kedua pihak utuk berkolaborasi dalam pembangunan profesional.
Majlis pertukaran LoI itu disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad dan Pengarah Zubir Chang & Co. PLT, Zubir Zahid di Bilik Mesyuarat Khawarizmi TISSA-UUM, baru-baru ini.
Dr. Ram berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan firma akauntan bertauliah, Zubir Chang & Co itu.

Menurutnya, dengan jalinan strategik itu juga, kedua pihak dapat mencari penyelesaian berhubung pendidikan dan latihan bagi pembangunan profesional.
Antara kerjasama yang dipersetujui adalah untuk menjadi rakan industri untuk Institut Penyelidikan Dan Pembangunan Sistem Maklumat Perakaunan (AISRED), menyediakan peluang latihan industri kepada pelajar UUM, dan menjadi jemputan sebagai penceramah dalam aktiviti anjuran AISRED.
Selain itu, mewujudkan kerjasama dengan akademia dan pihak industri dalam penyelidikan, penerbitan dan penyeliaan, di samping mengadakan latihan dan lain-lain program yang memanfaatkan kedua-dua pihak. – Dr.Hafizah Hsbollah