UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Luaskan jaringan dengan alumni universiti sebagai sumber pencarian kerja

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Unit Foto dan Media/UUM Today

SINTOK: Pencarian kerja setelah menamatkan pengajian adalah satu perjalanan mencabar bagi graduan terutamanya dalam mencari kerjaya yang bersesuaian.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, untuk membantu dalam menghadapi dunia pekerjaan, graduan harus memanfaatkan jaringan alumni khususnya dari UUM sebagai sumber yang berharga dalam mencari kerjaya.

Menurutnya, UUM berbangga kerana mempunyai sejumlah alumni yang mempunyai nama besar dalam kerjaya masing-masing.

“Sehingga kini, UUM telah melahirkan seramai 1,067 ketua pegawai eksekutif atau CEO.

“Jadi, gunakanlah hubungan ini untuk mencari peluang pekerjaan serta mendapat nasihat profesional dan sokongan dalam permulaan kerjaya anda,” katanya pada sesi ketujuh, Majlis Kovokesyen Ke-36 UUM, petang ini.

Tambah beliau, untuk mendapatkan kelebihan kompetitif yang besar dalam pasaran pekerjaan, graduan perlu terus meningkatkan kemahiran melalui latihan dan pembangunan profesional sama ada melalui pengajaran, kursus tambahan atau penyertaan dalam projek-projek yang relevan.

Selain itu, ujarnya, kecekapan dalam teknologi juga adalah aset yang sangat penting dalam era digital ini, justeru graduan pelajarilah teknologi baru untuk meningkatkan daya saing.

Dr. Mohd Foad berkata, carilah idea-idea baru, terokalah penyelesaian terbaik terhadap cabaran yang dihadapi oleh negara bagi membantu Malaysia menjadi lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Petang ini, seramai 684 graduan dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan hadir menerima ijazah sarjana muda masing-masing.

Turut diraikan graduan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaantani, Mohd Zulfadli Zabani yang mendapat Anugerah Kecemerlangan Yusuf Taiyoob;  Lim Han Sheng, graduan Sarjana Muda Kewangan terima Anugerah Majlis Perancangan Kewangan Malaysia; Muhammad Hafizuddin Hakim Ahmad Bada, graduan Sarjana Muda Perbankan menerima Anugerah Asian Institut of Chartered Bankers dan penerima Anugerah Malaysia Association of Risk and Insurance Managemant, Moo Keng Zhi, graduan Sarjana Muda Pengurusan Risiko dan Insurans.