UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Mahasiswa anak Pahang diraikan Menteri Besar

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Akmal Ahlami Md Rozai

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pahang meraikan lebih 2,000 mahasiswa universiti yang berasal dari negeri itu dalam satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Dagangan Dunia pada Sabtu.

Turut diraikan tiga mahasiswa yang dinobatkan sebagai Ikon Siswa Pahang 2023 atas kecemerlangan akademik di institusi pengajian masing-masing.

Mereka adalah Nor Hazelin Hazman dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Liyana Nur Hazirah Mohamad Noor Azman dari Kolej Universiti Yayasan Pahang dan Muhammad Alif Syafiq Mohamed Ismail dari Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah. Masing-masing menerima sijil kecemerlangan, plak dan wang tunai sebanyak RM2,000.

Hazelin (tengah) bersama Ahmad Martadha (kanan) selepas menerima pengiktirafan sebagai Ikon Siswa Pahang.

Majlis yang dianjurkan kali kedua selepas 10 tahun bersama Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN) di semenanjung Malaysia itu memberi peluang kepada mahasiswa meluangkan masa bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Dalam ucapannya, Wan Rosdy memuji peranan MAMPAN yang berupaya melahirkan bakat dan pemimpin masa depan untuk berkhidmat kepada negara sejak penubuhannya pada 6 November 1999.

“Pelbagai program anjuran MAMPAN memberi impak besar kepada mahasiswa sebagai panduan dan memberi pengalaman. Saya yakin MAMPAN mampu menjadi pertubuhan pelajar yang berkesan dalam melahirkan modal insan berkualiti.

“Di samping itu, saya juga berharap pengiktirafan kepada Ikon Siswa Pahang ini akan menjadi pembakar semangat kepada mahasiswa lain untuk terus mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi termasuk akademik dan kokurikulum,” katanya.

Wan Rosdy turut memberi penghormatan kepada Yayasan Pahang yang menawarkan biasiswa, pinjaman pelajar dan geran kepada institusi pengajian tinggi.

Tambahnya, yayasan itu turut menyediakan 2,000 peluang pekerjaan setiap tahun melalui program jaminan kerja dalam sektor teknologi maklumat serta program marin dan keusahawanan pesisir luar bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar Pahang.

Dalam majlis tersebut juga, Wan Rosdy telah meluangkan masa beramah mesra dengan mahasiswa yang hadir dan menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang 2023 Kluster Siswa, selain mengumumkan kenaikan bantuan kewangan Bantuan Prihatin Pahang 2023 Kluster Siswa daripada RM200 kepada RM300 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM8.9 juta. Tahun lalu, seramai 15,637 mahasiswa menerima manfaat daripada bantuan tunai RM200 itu.

Sementara itu, Nor Hazelin, pelajar tahun 3 Sarjana Muda Keusahawanan yang juga Presiden Kelab Patriot Chapter Pahang merakamkan rasa syukur dan terima kasih atas penghormatan yang diberi dan bertekad untuk terus komited dalam usaha untuk mengharumkan nama UUM di masa hadapan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang hadir bersama 120 mahasiswa anak Pahang UUM turut meraikan kejayaan tersebut dengan penuh kesyukuran.

Beliau juga berkesempatan untuk beramah mesra dengan Menteri Besar dan barisan kepimpinan kerajaan negeri Pahang dalam usaha untuk meluaskan jaringan kerjasama strategik antara UUM dengan jabatan dan agensi kerajaan negeri tersebut.

Sesi soal jawab turut diadakan bagi memberi peluang kepada mahasiswa mengemukakan pertanyaan mereka kepada Menteri Besar.

Turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Pelajar bersama wakil badan pelajar UUM. – Akmal Ahlami Md Rozai