UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Majlis khatam Al-Quran hidupkan bulan Ramadan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Berita dan gambar Pusat Asasi Pengurusan/UUM Today

SINTOK, 1 April – Seramai 211 peserta terdiri pelajar dan staf Pusat Asasi Pengurusan serta staf Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) menghadiri Majlis Khatam Al-Quran Perdana di Masjid Sultan Badlishah, baru-baru ini.

Majlis anjuran Pusat Islam dan Pusat Asasi Pengurusan itu merupakan salah satu pengisian di bawah kempen Barakah Ramadan daripada EXCO Pembangunan Sahsiah dan Kepimpinan Sesi 2023/2024.

Pegawai Tadbir, Muhammad Syazwan Menon berkata, majlis ini dilaksanakan bagi mengimarahkan serta menghidupkan bulan Ramadan yang mulia ini dengan program yang bermanfaat.

Menurutnya, objektif utama majlis ini diadakan untuk memupuk budaya dan sifat cinta akan Al-Quran dalam kalangan pelajar agar mereka dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Tambahan pula, katanya, majlis tersebut berpotensi untuk membina keterjaminan rohani serta keterampilan diri yang kukuh dalam diri pelajar.

Majlis dimulakan dengan ucapan Pengarah Pusat Islam, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie yang memfokuskan tentang mukjizat Al-Quran dan kelebihan membaca kitab suci itu.

Beliau menegaskan bahawa seorang Muslim yang baik akan berusaha membuktikan kecintaan mereka kepada Al-Quran. Salah satu caranya adalah dengan berusaha mengkhatamkan senaskah Al-Quran di samping memelihara dan menjaga cara bacaan serta sebutan makhraj huruf yang betul.

Seterusnya, bacaan khatam Al-Quran yang merdu dialunkan oleh 20 pelajar Pusat Asasi Pengurusan yang diketuai oleh dua ‘khalifah’ iaitu Muhammad Syazwan dan Sharif Abdus Salam Sharif Saad.

Pelajar dan staf yang terlibat secara umumnya menzahirkan rasa bersyukur kerana majlis sedemikian dapat diadakan di UUM kerana ia sedikit sebanyak telah memberikan mereka motivasi dan semangat untuk terus luangkan masa bersama Al-Quran serta menghayati dan memahami makna atau kisah-kisah yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran.