TANJUNG BUNGAH: Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (MPUUM) di bawah kepimpinan baharu sesi 2023/2025 terus bergerak ke hadapan dalam mencapai perancangan strategik UUM.
Pengerusinya, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim berkata, MPUUM akan meneliti semula peranan yang boleh disumbangkan agar sejajar dengan keperluan semasa universiti.
Beliau berkata demikian dalam Bengkel Pemerkasaan MPUUM bersama EXCO dan wakil kluster MPUUM yang diadakan selama tiga hari pada 8 Ogos lalu.
Menurut beliau, penganjuran Bengkel Pemerkasaan MPUUM itu bertujuan untuk menyemak semula peranan MPUUM serta merancang aktiviti yang boleh dilakukan dalam mencapai hasrat UUM melalui peranan yang dimainkan oleh setiap kluster di bawah MPUUM.

“Dalam masa yang sama, hubungan baik dan kerjasama erat sesama ahli MPUUM juga perlu diperkukuhkan.
“Melalui pengemblengan kedua-dua unsur ini iaitu perancangan yang baik dan relevan serta jalinan kerjasama sesama ahli MPUUM, saya percaya MPUUM mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.
Dalam bengkel itu juga, beliau mengusulkan agar Skim Budi Bakti perlu penambahbaikan berterusan bagi menjadikan skim ini lebih kompetitif dan mampu menarik lebih ramai profesor yang telah bersara untuk meneruskan sumbangan mereka kepada UUM.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail yang membincangkan tentang isu berkaitan dengan hala tuju penyelidikan UUM serta peranan yang sepatutnya dimainkan oleh MPUUM bagi membantu UUM meningkatkan pencapaian penyelidikan dan penerbitan.
Menurutnya, MPUUM boleh menyumbang kepada pelbagai aspek dalam penyelidikan dan penerbitan terutama dari segi pembentukan budaya dan pembinaan kapasiti (culture and capacity building) melalui program yang dikenali sebagai Groom@UUM bagi menghasilkan penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi.

Di samping itu, Dr. Russayani berkata, MPUUM boleh memberi bimbingan kepada pensyarah dari segi menyiapkan penyelidikan pada masa yang ditetapkan dan menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi. Kedua-dua aspek ini turut melibatkan peranan profesor yang berkhidmat di bawah Skim Budi Bakti.
Seramai 29 ahli MPUUM telah menghadiri bengkel yang diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan sesama ahli MPUUM serta merancang aktiviti berimpak tinggi sejajar dengan keperluan semasa UUM.
Sepanjang bengkel juga diadakan aktiviti santai seperti zumba dan santapan kerohanian iaitu solat berjemaah dan tazkirah oleh Prof. Dr. Shukri Ahmad dan Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid.
MPUUM Sesi 2023/2025, selain Dr. Rosna selaku Pengerusi turut diterajui oleh Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid sebagai Timbalan Pengerusi; Setiausaha, Prof. Dr. Noor Azniza Ishak: Bendahari, Prof. Dr. Nor Aziah Abdul Manaf; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Pembanguanan Insan, Prof. Dr. Mohd Nasrun Mohd Nawi dan ketua-ketua kluster iaitu Prof. Dr. Fauziah Abdul Rahim (Kluster Pendidikan dan Kesejahteraan), Prof. Ts. Dr. Azham Hussain (Kluster Teknologi, Peluang Digital dan Kelestarian Inovasi), Prof. Dr. Mohd Azizudin Mohd Sani (Kluster Governan, Keselamatan, Kestabilan dan Resiliensi Nasional) dan Prof. Dr. Mukaramah Harun (Ketua Kluster Ekonomi, Tenaga, Persekitaran dan Perubahan Iklim).