UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Makan berlebihan jejas kesihatan

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

SINTOK: Dalam kemeriahan menyambut raya dengan amalan kunjung mengunjung kita dihidangkan dengan aneka juadah seperti ketupat, rendang, lemang, kuih-muih, kuah kacang, kek, minuman manis serta berkarbonat yang menyelerakan.

Ketika seronok menikmati hidangan tahukah anda makanan yang diambil itu mengandungi kolesterol, karbohidrat, garam dan gula yang tinggi?

Sedar tidak sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatan, apabila tiba-tiba badan menunjukkan isyarat seperti sesak nafas, berpeluh-peluh, berpinar-pinar dan tidak sedap badan.

Makan-makan merupakan antara aktiviti utama di hari raya, pelbagai jenis makanan masuk ke dalam perut dari satu rumah ke satu rumah. Jadi, tidak hairanlah ketika musim raya ramai yang sakit, klinik dan hospital penuh sesak apabila ramai yang mendapat penyakit seperti sakit perut, jantung, sesak nafas, kencing manis, gout, gastrik, keracunan makanan dan obesiti.

Bagi yang menghidap kencing manis, berjaga-jagalah kerana tahap kesihatan akan  merosot disebabkan terlalu banyak mengambil makanan manis dan karbohidrat jadi kurangkan nasi, kentang, biskut, ais krim mi, bihun, roti dan kuih.  

Manakala Gout disebabkan asid urik dalam darah menyerang sendi dan sekiranya paras asid urik terlalu tinggi dibimbangi merosakkan buah pinggang dan batu karang. Justeru, kurangkan makanan laut dan banyak minum air kerana dehidrasi menyebabkan mudah terjadi pembentukan asid urik.  

Penyakit gastrik pula berpunca daripada keracunan makanan, pedih ulu hati dan penghasilan asid berlebihan. Ramai yang menghidap gastrik kerana terlebih makan yang mengakibatkan refluks asid perut ke hujung esofagus.

Kita makan pelbagai jenis makanan yang menyebabkan keracunan makanan misalnya rasa mual dan muntah, sakit perut dan cirit-birit, demam, berpeluh dan sakit kepala.

Selalunya pada hari raya kita banyak berjalan adakalanya merentas negeri justeru terdedah kepada kepanasan matahari yang  mengundang dehidrasi (badan yang kurang air) serta menjejaskan fungsi badan.

Untuk kekal sihat ambil makanan seimbang seperti sayur dan buah, jaga tertib makan dengan makan sayur terlebih dahulu diikuti protein dan karbohidrat yang menyebabkan cepat kenyang, minum banyak air jangan tunggu dahaga tambahan pula dalam cuaca panas membahang selain rajin bersenam.

Sihat itu nikmat, satu anugerah yang tidak ternilai dan tiada galang gantinya. Bila sakit, duit banyak pun tiada gunanya, jadi mencegah lebih baik daripada merawat.