UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Malaysian Cultural Roadshow terokai seni budaya 

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Gambar: Hairul Nizam Zahari /UUMTODAY

SINTOK: ‘Malaysian Cultural Roadshow’ memberi peluang dan pengalaman berharga kepada mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) mempelajari seni budaya tempatan yang terdapat di Malaysia.

Mereka terdiri daripada 106 pelajar Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) dan Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari Dan Pengurusan Industri Kreatif dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) yang menganjurkan program apresiasi seni budaya di bawah seliaan pensyarah SCIMPA, Dr. Adzira Husain dan Azrina Abd Razak.

Dr. Adzira berkata, program ini merupakan sebahagian daripada tugasan untuk subjek SCIM1053 Komunikasi Budaya dan Apresiasi Seni Malaysia yang memberi peluang kepada para pelajar mempelajari seni budaya tempatan yang terdapat di Malaysia.

“Antaranya, budaya di Borneo iaitu negeri Sarawak dan Sabah, budaya masyarakat India, masyarakat Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu, masyarakat di Utara Malaysia iaitu negeri Kedah dan Perlis dan budaya masyarakat Cina.

“Pelbagai aktiviti menarik sepanjang program ini berlangsung dimana terdapat gerai jualan yang menjual makanan tradisional dari pantai timur iaitu Laksam dan juga kuih tradisional yang sukar didapati iaitu Kuih Dangai,” ujarnya.

Majlis yang turut dihadiri Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin itu dimeriahkan lagi dengan persembahan syair, nyanyian serta tarian tradisional bagi setiap kaum di Malaysia.

Sementara itu, Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif, Aina Hazarina Azwa Mohd A’zurin teruja menerokai adat budaya di Malaysia yang membuka mata pelajar agar menghargai khazanah yang ada.

“Saya banyak belajar tentang budaya di Malaysia yang sesetengahnya saya tidak tahu misalnya budaya masyarakat India dalam proses pembuatan Rangoli itu sendiri merupakan satu proses yang rumit dan memakan masa namun bila selesai hasilnya sangat cantik.

“Bagi budaya Borneo pulak saya pelajari cara pembuatan ambuyat yang sukar ditemui   di semenanjung jadi program seumpama ini perlu diteruskan agar dapat menarik lebih ramai lagi pelajar UUM mengenali budaya di Malaysia,” ujarnya.

Manakala Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif, Ng Wei Soon berkata, melalui program ini pelajar dapat menimba pengalaman dalam menguruskan acara selain daripada memupuk semangat kerjasama dalam kumpulan.

“Acara yang sangat menarik dan bermanfaat, para pelajar juga dapat mengenali dengan lebih lanjut tentang budaya masyarakat di Malaysia misalnya mendapat banyak pengetahuan tentang adat budaya dan aneka jenis makanan yang memiliki keunikan tersendiri.   

Setiap reruai mempromosikan budaya Melayu, Cina, India, Borneo, Utara, dan Pantai Timur yang memperkenalkan adat budaya dan makanan yang sedap di samping persembahan yang menghiburkan.