UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

MASKUM latih jadi sukarelawan yang ikhlas 

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok: Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) mampu melatih staf universiti untuk menjadi sukarelawan yang ikhlas menghulurkan tangan kepada mereka yang memerlukan.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan yang 10 tahun berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar mengakui MASKUM melatihnya menjadi sukarelawan yang ikhlas.

“Saya dan MASKUM berpisah tiada. MASKUM merupakan makmal terbaik untuk melatih kita menjadi sukarelewan. Untuk membentuk sikap sukarela bukanlah boleh berlaku serta-merta, tetapi ianya perlu dilatih secara berterusan.

“Sebagai sukarelawan kita sentiasa bekerja 24 jam misalnya apabila berlaku banjir maka tanggungjawab MASKUM menggerakkan pasukan dan seluruh jentera untuk membantu mangsa banjir,” ujarnya pada Majlis Makan Malam dan Serahan Tugas MASKUM, malam tadi.  

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Merangkap Pengerusi Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM), Prof. Dr. Norkhalid Salimin dan TNC HEPA UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Dr Mohd Foad berkata, gerak kerja MASKUM yang pertama dijalankan pada 2013 di Kelantan, pada ketika itu suasana begitu mencabar dan semua universiti bertumpu di sana dan berkampung hampir sebulan untuk membersihkan kawasan.

“Alhamdulillah hasil penyelarasan dan kerjasama kita dapat menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan untuk membantu mangsa banjir,” tambahnya.

Katanya, pada 2023 skop dan bidang tugas MASKUM diperluaskan gerak kerja sehingga tercetusnya S4S sebagai satu platform yang dipakai oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Bagi pihak UUM, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Prof. Dr. Norkhalid dan semua rakan-rakan dalam MASKUM kerana memilih EDC-UUM untuk Bengkel Pemurnian Terma Rujukan (TOR) dan Mesyuarat Penyelarasan MASKUM,” katanya.

Menurut Dr. Mohd Foad, falsafah kesukarelaan mengajak untuk menjadi agen perubahan yang menyumbang dalam menciptakan dunia yang lebih baik dengan tindakan sukarela kita.

“Falsafah kesukarelaan meyakini bahwa ketika seseorang memberikan secara sukarela, baik berupa waktu, usaha, pengetahuan atau usaha lainnya, itu dapat menciptakan perubahan positif dalam diri sendiri, orang lain, dan komuniti secara luas dan seterusnya akan lahir cahaya ketenangan dan puas hati dalam diri,” katanya.

Jelasnya, semangat kesukarelaan hadir bersama-sama dengan nilai-nilai kemanusiaan lain seperti empati, kerjasama, dan kepedulian.

“Ini mengingatkan kita akan pentingnya memerhatikan keperluan dan kepentingan orang lain serta berupaya membantu mereka dalam kapasiti yang mampu.  

“Falsafah kesukarelaan berdasarkan sikap dan tindakan yang ikhlas untuk memberikan bantuan atau kebaikan kepada orang lain tanpa mengharapkan imbalan. Sikap sukarela melibatkan kemahuan dan kecenderungan untuk memberikan sumbangan, melayani, atau membantu sesama manusia atau masyarakat secara sukarela,” katanya.

Sementara itu, Dr. Norkhalid berkata, kesukarelawan bukan hanya tertumpu kepada banjir sahaja malah lebih daripada itu.

“Kita telah membuka laluan lebih luas dan terdapat enam teras MASKUM yang perlu dilaksanakan di bawah program Semarak Siswa Madani di Bahagian Mahasiswa Holistik,” ujarnya.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi terima  kasih kepada Prof. Foad atas jasa dan bakti yang dicurahkan sebagai pengerusi MAKUM sebelum ini.

“Prof. Foad adalah bekas Pengerusi MASKUM dan banyak perkara asas yang dilakukan di bawah kepimpinannya dan saya akan meneruskan legasi beliau,” katanya.