Gambar Hairul Nizam Zahari dan Mohd Fuad Hamid/UUM Today
SINTOK: Penganjuran Sukan Tahunan Universiti Malaysia-Thailand (MASTHAI) Ke-13 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia selaku tuan rumah memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama antara dua negara serumpun ini.
MASTHAI yang berlangsung selama lima hari bermula 3 hingga 7 September lalu mempertandingkan lima acara sukan iaitu futsal, bola tampar, petanque, badminton dan golf.

Pengarah Pusat Sukan UUM, Dr. Nasirudin Haron berkata, seramai 184 pelajar universiti dari Malaysia dan Thailand telah menyertai MASTHAI ini di mana 94 peserta mewakili universiti di Malaysia, manakala 94 lagi dari Thailand.
Menurutnya, tujuan penganjuran sukan tahunan universiti bukan sahaja mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara dua negara, malah menunjukkan semangat kesukanan dan persahabatan antara semua peserta termasuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan.
Pada kejohaan itu, pasukan Malaysia mengungguli acara sukan futsal dan badminton.

Bagi memeriahkan lagi MASTHAI, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan telah hadir ke majlis makan malam yang disertai Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi, Fazidah Mustafa dan Ketua Delegasi Thailand, Prof. Madya Siraya Sitthisarn.
Pada majlis itu, Fazidah turut melancarkan logo rasmi MASTHAI.

Penutup MASTHAI telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Untuk rekod, edisi pertama MASTHAI telah berlangsung di Universiti Putra Malaysia pada 2008.