UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

MDV Berhad – CUIC jalin kerjasama strategik 

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal mewujudkan kerjasama strategik bersama MDV Berhad melalui pembangunan staf.

Timbalan Pengarah (Jaringan Industri), CUIC, Dr. Normalisa Md Isa berkata, CUIC telah mengorak satu langkah ke hadapan dengan mengadakan pertemuan bagi membincangkan rangka kerjasama yang bakal dijalankan dengan MDV Berhad.

Jelasnya, MDV Berhad ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2002 dengan objektif menyediakan kemudahan kewangan yang fleksibel dan inovatif untuk membangunkan sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sebagai pemangkin pertumbuhan negara.

Menurutnya, fokus utama pertemuan kedua-dua pihak ini adalah untuk membincangkan hasrat MDV Berhad untuk membentuk satu program latihan menyeluruh untuk kakitangan mereka.

“Kerjasama ini menekankan komitmen CUIC dan MDV Berhad untuk menyatukan akademia dan industri, dengan matlamat bersama untuk mendorong pembangunan profesional dan pertumbuhan dalam sektor korporat,” katanya.

Seiring dengan objektif perbincangan, kerjasama ini dijangka menghasilkan inisiatif latihan inovatif yang akan memberi manfaat kepada MDV Berhad dan komuniti akademik secara umum.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDV Berhad, Nizam Mohamed Nazri menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan tenaga akademik UUM bagi membina dan melaksanakan modul latihan yang sesuai dengan keperluan khusus Syarikat MDV Berhad.

“Program latihan yang bakal dirangka ini bertujuan untuk membantu kakitangan MDV Berhad serta memberi peluang kepada peningkatan kerjaya dan pembangunan peribadi.

“Selain itu, latihan ini turut menyumbang kepada pertumbuhan dan perkembangan keseluruhan organisasi,” ujarnya yang juga merupakan ahli Majlis Penasihatan Universiti-Industri (MPUI) UUM.

Sesi perbincangan secara maya itu turut disertai oleh Naib Presiden Modal Insan MDV Berhad, Himran Abd. Ghani serta Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan, dan Perbankan (SEFB), Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd Rashid dan pensyarah dari SEFB.