KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Venture Bhd (MDV) telah menyalurkan dana berjumlah RM40 juta daripada RM60 juta yang disasarkan tahun ini.
Pengerusi MDV, Khairul Azwan Harun berkata, dana itu diagihkan menerusi dana pembiayaan mudah tunai untuk pemula niaga teknologi (LIFTS) dan Skim Jaminan Dana Mikro Penerokaan Teknologi MDV.
“MDV juga berhasrat meluaskan perkhidmatan pembiayaan untuk menyokong lebih banyak syarikat pemula niaga teknologi Malaysia bagi memastikan syarikat pemula ini kekal dalam negara.
“Kita mahu menjangkau lebih banyak syarikat pemula niaga bagi memastikan syarikat-syarikat ini kekal dalam Malaysia,” katanya dalam sidang media, semalam.
Sidang media itu bersempena KL Venture Finance Forum 2022 (KLVF2022) yang merupakan forum modal teroka kewangan yang julung kali diadakan di Malaysia.
KLVF 2022 yang akan berlangsung esok bakal menghimpunkan penceramah tempatan dan antarabangsa daripada sektor pengurusan serta kewangan dan syarikat pemula tempatan yang berjaya serta berstatus teknologi unikorn.