SELAMA (KEDAH): Berbakti kepada rakyat merupakan satu inisiatif di bawah program MEKAR dalam Membina Kesejahteraan Rakyat.
Susulan itu, Inapan Siswa (INASIS) Tradewinds telah menganjurkan program MEKAR Selama-nya dengan kerjasama pihak Masjid Kampung Sg. Tengas dan penduduk Kampung Sg. Tengas yang diadakan selama tiga hari pada 6 Julai lalu.
Program tersebut melibatkan 42 Ahli Jawatankuasa Pembangunan Siswa dan Residen Siswa (JKPSRS) INASIS Tradewinds termasuk barisan pengurusan dan staf INASIS Tradewinds.

Pengarah program, Muhammad Shafiq Shafiee berkata, Program MEKAR Selama-nya ini dijalankan adalah bertujuan untuk meningkatkan ekonomi, mencurahkan bakti dan reformasi pendidikan melalui Sains dan Matematik penduduk kampung terlibat.
Selain itu, katanya, ia bertujuan mengeratkan hubungan pelajar INASIS Tradewinds dengan memberi bantuan terutamanya keperluan asas kepada masyarakat kampung yang memerlukan serta membantu untuk mendidik pelajar agar menghargai rezeki yang diperolehi.
Menerusi MEKAR juga, terdapat beberapa sub-program lain seperti Ekspo MEKAR Selama-nya, Sukaneka, Perkongsian Perniagaan bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Pameran AI & Robotik daripada Pengarah Akademi STEM, UUM, Prof. Madya Dr. Azizi Ab Aziz, Pameran TVET oleh Institut Kemahiran MARA (IKM) Sik, sesi kesihatan Hospital Selama dan Perasmian Tapak Perniagaan di depan Masjid Kampung Sg. Tengas.

Selain daripada itu juga, menurut Muhammad Shafiq, program itu juga memberi penekanan kepada aspek pembangunan perniagaan, kebajikan dan pembangunan pendidikan malahan kestabilan sumber air serta kesihatan.
“Justeru, objektif program ini adalah sangat penting untuk semua pihak yang terlibat iaitu penduduk kampung dan pelajar untuk mengeratkan silaturahim, membina kesejahteraan dan berkongsi ilmu serta pandangan akan matlamat untuk membina komuniti yang berjaya di dunia dan akhirat kelak,” ujarnya.