UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Memperkasa aspirasi universiti pengurusan terkemuka

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

KUCHING: Kemiskinan tidak mengenal agama dan bangsa justeru sebagai pendidik sudah semestinya memastikan anak didik berjaya dan inilah peluang untuk mengubah kehidupan mereka agar lebih berjaya.

Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pensyarah percaya kepada kemampuan pelajar dan sentiasa menerapkan nilai, kasih sayang, hormat menghormati, akhlak dan adab di samping kecemerlangan dalam akademik.

“UUM memberi penekanan kepada aspek kualiti justeru program akademik terus diperkasakan bukan sahaja dari aspek teori malah kemahiran kerana dunia hari ini bukan sahaja memerlukan ijazah tetapi kemahiran yang memberi nilai kepada mahasiswa, inilah UUM. 

“Dalam usaha memperkukuhkan kemahiran, kita bangunkan program inkubator untuk pelajar merasai pengalaman yang akhirnya mereka dapat membuka syarikat sendiri.

“Mereka ada idea untuk mengembangkan perniagaaan kerana telah dibimbing secara keseluruhan termasuk tadbir urus, kewangan, sumber manusia. 

“Inilah yang kita ingin tonjolkan sekali gus memberi paradigma baharu dalam mempersiapkan graduan agar bersedia memasuki dunia pekerjaan,” katanya ketika bersiaran dalam program Sejahtera Asia dengan topik Memperkasa Aspirasi Universiti Pengurusan Terkemuka: UUM di TVS saluran 122 Astro & myFreeview, semalam.     

Menurutnya, UUM memberi pengalaman, ilmu dan kemahiran yang diperlukan dengan penglibatan industri yang menjalin kerjasama dan mengembleng potensi yang boleh dibangunkan. 

Selain itu, beliau yang berpengalaman mengajar sejak 22 tahun lalu turut menceritakan kisah hidupnya untuk memberi inspirasi dan mesej positif yang disampaikan kepada anak muda supaya bersemangat meneruskan perjuangan hidup.