UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Memperkasakan kepimpinan wanita secara global

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Brussels – Prof. Madya Dr. Ummu Atiyah Ahmad Zakuan diberikan penghormatan membentangkan kajiannya sempena ‘High Level Dialogue – on Sustainable Development Through Gender-Responsive Policy Making’ yang berlangsung di EU Parliament, Brussels.

Kajiannya dibentang dalam ‘Rountable Discussion on Women and Party Politics – Strenthening the Participation and Representation in Germany and Malaysia’ yang turut dihadiri oleh delegasi Kesatuan Eropah (EU) dari pelbagai agensi di Berlin.

Beliau yang juga pensyarah dari Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, pertemuan selama lebih seminggu ini melibatkan pelbagai topik penting antaranya, jalinan strategik ASEAN dan Eropah menerusi Pelan Strategik EU 2023 -2027, kesaksamaan gender dalam demokrasi, kepimpinan wanita dalam politik, gender responsive budgeting, wanita dalam korporat dan dasar luar.

Jelasnya, dalam usaha memperkasakan kepimpinan wanita, antara yang penting adalah dengan adanya undang-undang yang menyokong kesaksamaan gender ini.

“Contohnya, penyataan dasar 30 peratus tersebut perlu ditingkatkan menjadi satu dasar yang lengkap yang mempunyai pelan strategik seperti dasar yang lain. Jika dasar sebegini ada maka, contoh di dalam aspek kepimpinan politik, sistem kouta dapat diperkenalkan bagi mencapai matlamat tersebut.

“Kouta juga pelbagai, kita boleh berbincang apakah model yang digunakan misalnya, dalam undang-undang pilihanraya di Indonesia dan Filipina, parti-parti mesti menyenaraikan senarai calon dan 30 peratus adalah wanita,” ujarnya.

Sekiranya mereka gagal melakukannya, maka, parti mereka tidak boleh bertanding hasilnya, kedua-dua negara ini menjadi negara yang tertinggi mempunyai peratusan wanita dalam parlimen di dalam Asia Tenggara dan Malaysia tertinggal jauh di belakang berada di tangga kedua terbawah.

Selain itu, undang-undang yang menyokong sama ada lelaki dan wanita untuk bergiat aktif dalam politik. Contohnya perkongsian di Berlin, salah seorang ahli Parlimen berkongsi, undang-undang merupakan satu faktor penting memboleh kepadanya dan juga pada orang lain kerana beliau merupakan seorang penjawat awam, bertugas sebelum ini sebagai pengetua sekolah.

Di dalam undang-undang mereka, sekiranya mereka telah meletak jawatan untuk bertanding di dalam pilihanraya, dan jika mereka kalah, mereka dibenarkan kembali semula bekerja dengan status jawatan dan gaji yang sama ketika mereka meletakkan jawatan untuk bertanding di dalam pilihanraya.

Undang-undang ini jelas memberi sekuriti dan jaminan kepada penjawat awam yang berminat untuk terlibat di dalam aktif di dalam politik. Undang-undang ini menjadi ‘enabler’ kepada dia untuk teruskan perjuangan dalam politik tanpa kerisauan untuk menampung keperluan keluarganya jika kalah di dalam pilihanraya.

Program “High Level Dialogue” memberi tumpuan kepada perkongsian pengalaman dari pihak masing-masing dan pertukaran strategi mengenai pembaharuan yang diperlukan untuk pembangunan kesaksamaan gender.

Perbincangan ini juga melibatkan pelaksanaan pelan tindakan yang sepadan dan sesuai dengan konteks masing-masing.

“Antara yang dibincangkan adalah undang-undang mengenai belanjawan kewangan berasaskan keperluan dan peruntukan dalam belanjawan awam yang responsif gender, di mana ia mampu mengenal pasti masalah yang paling asas berkaitan diskriminasi terhadap wanita, mahupun lelaki.

“Dengan melakukan gender analisis dalam belanjawan ini umpamanya dapat memperkenalkan inisiatif untuk mengurangkan diskriminasi struktur, contoh kepada wanita dalam pasaran buruh dan dalam undang-undang buruh.

Impak daripada pertemuan ini adalah jalinan jaringan yang baik dan dua hala serta aktif, di antara pihak yang terlibat di dalam usaha untuk meningkatkan kesaksamaan gender.

“Pihak EU begitu aktif dan telahpun menyuarakan hasrat untuk turut sama berkongsi cabaran dan pengalaman mereka dan juga belajar dari pihak Malaysia kerana di dalam perbincangan kami, cabaran mereka dan Malaysia tidak jauh berbeza malah terdapat banyak persamaan di dalam usaha mencapai kesaksamaan gender ini.

“Cabaran paling besar adalah untuk memberi kefahaman yang betul dan tepat apakah maksud kesaksamaan gender ini dan apakah manafaat kepada kita.

“Apabila tiada kefahaman atau tidak ada kesediaan untuk memahami, ia akan memberi tanggapan yang salah dan menyulitkan usaha pelbagai pihak termasuk kerajaan untuk memperbaiki keadaan seperti diskriminasi terhadap wanita dalam pelbagai sektor seperti pekerjaan, politik, dan kepimpinan.

Tambahnya, ini adalah usaha yang perlu digiatkan bagi membolehkan representasi wanita dalam kepimpinan dapat direalisasikan.

“Sebagai solusi, delagasi akan melaksanakan mengikut kapasiti masing-masing misalnya saya dalam kapasiti penyelidik, akan terus melakukan kajian dan advokasi berkaitan dengan wanita dan kepimpinan berfokus pada sektor politik.

“Malah kami telah pun bermula, saya akan bekerjasama dengan media, iaitu Astro akan menonjolkan wanita muda berkaliber yang aktif dalam politik untuk berkongsi cita-cita, aspirasi dan perancangan mereka kepada negara di dalam slot terbitan astro “The Future is Female”,” kongsinya.

Usaha ini bertujuan memberi platform awam kepada mereka kepada audien yang lebih luas secara tidak langsung memberi kesedaran dan galakan kepada masyarakat bahawa wanita juga boleh menjadi pemimpin, malah pemimpin yang baik, di dalam politik.

“Saya berharap, kita semua dapat memainkan peranan sebaik mungkin untuk terus meningkatkan kualiti hidup rakyat, masyarakat seterusnya membawa negara kita ke tahap yang lebih baik dan cemerlang dalam pelbagai sektor. Everyone matters and unique,” ujarnya menutup bicara.