Gambar Roslee Mardan/UUM Today
SINTOK: Pegawai Tadbir merupakan antara bidang kerjaya yang diimpikan oleh setiap graduan universiti terutama yang meminati kerjaya sektor awam.
Dinamika sektor awam dan kompleksiti keperluan masyarakat hari ini telah menuntut kerjaya sebagai Pegawai Tadbir lebih mencabar serta memerlukan tingkat kualiti individu yang tinggi.
Hadir menerima ijazah sempena majlis konvokesyen dengan berstatus kerjaya sebagai Pegawai Tadbir, pastinya membuatkan Nurul Najwa Bazlan, 26, berbangga dengan bidang yang dipilihnya.
Nurul Najwa merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa yang kini sedang berkhidmat di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sejak setahun yang lalu.
Mengakui bahawa tugasannya sangat mencabar Nurul Najwa tetap bersyukur kerana ilmu pengurusan yang diperolehi di Universiti Utara Malaysia (UUM) sangat membantunya dalam dunia kerjaya seperti sekarang.
“Alhamdulillah, saya sedang menimba pengalaman dalam kerjaya (Pegawai Tadbir) walaupun belum menaiki pentas konvokesyen. Selepas menamatkan pengajian, perkara yang bermain dalam fikiran saya adalah apa kerjaya masa hadapan selepas tamat belajar. Ilmu yang saya dapat semasa belajar di UUM saya praktikkan semasa di peringkat awal saya bertugas,” katanya.

Nurul Najwa yang pernah ditempatkan di Pejabat Perdana Menteri berkata, menjadi pegawai dalam satu organisasi penting dan besar adalah satu peluang untuk mempelajari selok-belok pengurusan kerajaan.
Selain perlu menepati masa, ujarnya, seorang pegawai perlu sentiasa merancang kerja, mendahulukan tugasan utama dan perlu peka dengan sebarang perubahan yang tidak dijangka.
“Pada awalnya memang agak kekok kerana semua perkara (tugasan) melibatkan kerahsiaan serta protokol dan polisi. Tapi syukur kerana pegawai dan staf lain sentiasa membimbing.
“Semakin hari saya semakin memahami betapa besarnya tugas agensi kerajaan untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara. Ini yang membuatkan saya terus bersemangat untuk menjalankan tugas,” kata anak kelahiran Alor Setar itu.
Tegasnya, ketika di universiti peluang untuk bergiat aktif dalam aktiviti pelajar membantunya membentuk keyakinan diri di samping meningkatkan kemahiran mengurus, berkomunikasi dan menyelesaikan masalah.
Pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Parlimen, Parlimen Mahasiswa UUM, Nurul Najwa berkongsi tips mengenai pentingnya aktif dalam berpersatuan.
“Mujur semasa di universiti dulu saya terbiasa menguruskan pelbagai aktiviti sama ada berbentuk maya maupun secara fizikal. Jadi, tiada masalah untuk meletakkan sebarang komitmen dan tugasan yang banyak kerana saya terbiasa menyelesaikan pelbagai masalah,” katanya lagi.
Kadar kebolehpasaran graduan UUM bagi tahun 2022 telah mencapai 94.4 peratus berbanding 84.4 peratus pada tahun 2021. Pencapaian ini membuktikan bahawa graduan UUM memiliki kualiti tersendiri seiring dengan keperluan negara.