Sintok: Seramai 50 warga UUMIT yang berbilang bangsa turut memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan menerusi program MERDEKAROBIK di Dataran Parkir UUMIT, baru-baru ini.
Majlis yang dimulakan seawal jam 9 pagi itu dimeriahkan dengan kehadiran peserta yang memakai pakaian bertemakan Jalur Gemilang dan bersenam sambil mengibarkan bendera.
Timbalan Pengarah UUMIT, Abdul Razak Ali berkata, semangat sayangkan negara perlu dipupuk dalam kalangan semua masyarakat termasuk peserta berbilang kaum dan agama.
“Jadi, sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia peringkat UUM mulai 15 Ogos 2023 hingga 16 September 2023, UUM Information Technology (UUMIT) juga tidak ketinggalan mengadakan program MERDEKAROBIK kepada staf.

“Program yang disertai dua Staf dari Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar mengetuai senamrobik bertema merdeka ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan warga UUMIT termasuk staf berbangsa Cina dan India.
“Saya teruja dengan sambutan hangat yang diterima daripada peserta yang hadir sejak awal pagi yang dapat mengukuhkan lagi perpaduan kerana peserta terdiri daripada pelbagai bangsa,” ujarnya.
Pegawai Teknologi Maklumat, Tie Teck Kui berkata, aktiviti ini dapat menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan di peringkat UUMIT serta menaikkan semangat cintakan negara di kalangan staf.
Jelasnya, diiringi muzik patriotik yang malar segar peserta kelihatan begitu bersemangat melakukan senaman bersama-sama sambil melaungkan ungkapan keramat “merdeka merdeka merdeka”.

Teck Kui menyifatkan acara santai ini menjadi medium terbaik dalam memupuk semangat sayangkan negara dan menghargai erti kemerdekaan yang dikecapi selama ini.
Manakala Juruteknik Komputer, Arunkumar a/l sivalingam, program ini bukan saja dapat memupuk semangat muhibah di kalangan peserta yang hadir, malah acara sedemikian dapat menyihatkan badan serta menggalakkan staf mengamalkan gaya hidup sihat.
Arunkumar teruja dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan sambal bertanya khabar sekali gus mengeratkan hubungan di antara staf.
Menambah kemeriahan program, UUMIT turut mengadakan pertandingan baju tercantik bertemakan kemerdekaan bagi kategori lelaki perempuan dalam program ini.

Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Mohd Ridhwan Omar dan Setiausaha, Roselina Zabidi dinobatkan sebagai pemenang baju tercantik bertemakan kemerdekaan yang turut dipertandingkan dalam program ini.