SINTOK – Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Dato’ Prof Dr Norzaini Azman menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi) (JKTTNCPI) Universiti Awam Kali Ke-68 di Bilik Mesyuarat Senat, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin, Universiti Utara Malaysia (UUM) pagi tadi.
Mesyuarat yang dihadiri oleh JKTTNCPI ini turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan IPT, Prof Madya EUR ING. Ir. Ts. Dr Shahiron Shahidan, Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen Kecemerlangan Penyelidikan Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan IPT, Puan Rohida Kamis dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaya, Profesor Ir. Dr Shaliza Ibrahim yang merupakan Pengerusi Mesyuarat JKTTNCPI UA.

Mesyuarat berkala TNC PI Universiti Awam (UA) kali ke-68 ini diadakan bagi membincangkan hal-hal berkaitan penyelidikan dan inovasi.
Dato’ Prof Dr Norzaini yang ditemui berkata, mesyuarat yang diadakan ini merupakan platform untuk berbincang secara bersama dengan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan mendapatkan maklumat terkini mengenai halatuju sesebuah universiti bagi memantapkan peranannya dalam penyelidikan.
Katanya, mesyuarat ini juga dilihat penting dalam konteks menyampaikan perkara baru dan menghebahkan mengenai geran penyelidikan dan status terbarunya.

Mengenai kehadiran beliau Dato’ Prof Dr Norzaini berkata, JPT menghantar wakil untuk menjawab terus sekiranya ada perkara yang dibangkitkan dan perlu dijelaskan.