Gambar AP
LOS ANGELES: Aktres Hollywood kelahiran Ipoh, Perak, Tan Sri Michelle Yeoh mencipta sejarah apabila muncul pelakon Malaysia pertama meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe.
Michelle, 60, memenangi trofi itu menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All At Once.
Michelle menewaskan pesaing lain iaitu Lesley Manville yang membintangi Mrs. Harris Goes To Paris; Anya Taylor-Joy (The Menu); Emma Thompson (Good Luck To You, Leo Grande) dan Margot Robbie (Babylon).
Ketika menerima trofi, Yeoh berkongsi pengalaman lebih empat dekad dalam dunia seni yang disifatkan sebagai perjalanan menakjubkan.

“Saya teringat pertama menjejakkan kaki di Hollywood, ia seperti mimpi jadi nyata sehinggalah saya berdiri di sini (di pentas Anugerah Golden Globe).
“Ketika itu, saya diberitahu anda adalah minoriti. Namun, saya fikir, tak mungkin begitu. Kemudian seseorang beritahu saya, kamu perlu bercakap dalam bahasa Inggeris.
“Pada saat itu, maafkan mereka kerana tidak tahu (asal usul Yeo) sama ada Korea, Jepun, Malaysia, Asia dan India.
“Saya kemudian jawab, iya, penerbangan ke sini mengambil masa 13 jam dan saya belajar bahasa Inggeris sepanjang perjalanan,” katanya berseloroh sambil disambut hilai tawa jemputan pada acara anugerah yang disiarkan secara langsung itu.
Yeoh yang memberitahu penonton beliau meraikan ulang tahun kelahiran ke-60 tahun lalu, mengaku apabila usia meningkat, peluang untuk ditawarkan dalam filem makin berkurangan.

Namun, Yeoh berpuas hati kerana sebelum ini, beliau banyak menghasilkan naskhah hebat garapan sutradara berkaliber seperti Steven Spielberg, James Cameron dan Danny Boyle.
“Namun, akhirnya saya dapat hadiah paling istimewa iaitu filem Everything Everywhere All At Once.
“Saya kagumi The Daniels (panggilan untuk pengarah) yang ada keberanian menulis mengenai seorang wanita imigran biasa, ibu dan anak yang meningkat usia,” katanya yang berterima kasih kepada semua tenaga kreatif yang menjayakan filem berkenaan.
Sejak mula ditayangkan, penampilan Yeoh dalam filem ‘indie’ arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert itu menjadi sebutan ramai, malah, pengkritik filem percaya Yeoh bakal menggenggam trofi Oscar melalui watak dibawanya dalam filem terbabit.
Filem ‘box office’, Everything Everywhere All At Once ditayangkan Mac lalu yang menyaksikan Yeoh melakonkan watak isteri dan ibu yang mahu menyelamatkan dunia.