UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Miliki karakter penting jika ingin dihormati

Samsudin Oli

Samsudin Oli

Journalist and Assignment Editor for UUMTV .

Gambar Oleh: Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK: Seramai 663 graduan menerima Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda sempena Majlis konvokesyen ke-34 Universiti Utara Malaysia (UUM) pada sesi ketiga yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, Isnin lalu.

Tunku Mahkota Kedah, Dato’ Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang juga Pro-Canselor UUM menyampaikan Ijazah Sarjana, Sarjana Muda dan 13 anugerah kepada graduan.

Antara anugerah yang disampaikan ialah Pingat Emas Naib Canselor, Anugerah Persatuan Alumni UUM, Anugerah Buku Tunas, Anugerah Kecemerlangan INTEL, dan Anugerah Kecemerlangan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Semasa bertitah di sesi tersebut, baginda menyarankan agar para graduan memiliki karakter penting iaitu hormat menghormati, berintegriti dan beretika supaya membuatkan diri dihormati.

“Percakapan dan tindakan graduan seharusnya menggambarkan bahawa kita mengakui peranan dan idea yang disampaikan pihak yang berhadapan dengan kita, ” titah baginda lagi.

Baginda menyampaikan Ijazah Sarjana kepada graduan UUM sempena Konvokesyen ke-34 UUM.

Dalam masa yang sama graduan juga perlu mempunyai kemahiran komunikasi dalam menyelesaikan konflik secara terbuka dan secara langsung.

Katanya, konflik di tempat kerja yang diketepikan dan diabaikan akan menyebabkan kerugian dalam jangka masa panjang.

Selain itu, baginda turut menasihatkan agar graduan dapat mengasah kemahiran berkomunikasi dengan sebaiknya bagi memastikan persekitaran dan suasana di tempat kerja sentiasa sihat kerana hasilnya organisasi tersebut pasti akan berjaya dan lebih maju ke hadapan.

Manakala penekanan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris juga penting selain daripada Bahasa Melayu kerana pemilihan pekerja yang menguasai Bahasa Inggeris lebih cenderung untuk kenaikan pangkat daripada pekerja yang memiliki pengalaman kerjaya dan latar belakang pendidikan yang serupa.

“Hayatilah moto Ilmu, Budi dan Bakti kerana ciri-ciri ini penting dan mampu mengekang tingkah laku negatif bukan sahaja dalam kehidupan malah alam pekerjaan nanti,” sambung baginda lagi.

Di majlis yang amat bermakna ini, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua graduan yang berjaya menamatkan pengajian sekali gus menggembirakan hati ibu, bapa dan keluarga mereka.