UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

MoA UUM dan UIN Indonesia tingkat hubungan dua hala

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Dr. Azahar Kasim/UUM Today

JAKARTA: Indonesia antara negara yang menjalin hubungan diplomatik sejak awal Malaysia merdeka pada 1957. Hubungan erat itu terus diperkukuhkan kerana kedua-duanya merupakan negara serumpun yang memiliki ikatan sejarah yang kuat dalam pelbagai aspek termasuk dalam bidang pendidikan tinggi.

Indonesia dan Malaysia telah menjalinkan hubungan kerjasama yang baik dalam sektor pendidikan yang perlu diperkukuhkan lagi melalui pelbagai inisiatif yang boleh mengeratkan lagi hubungan antara dua negara ini, misalnya yuran pengajian di Malaysia yang berpatutan, kualiti program terbaik serta biasiswa untuk melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia turut ditawarkan untuk pelajar Indonesia.

Terbaru, usaha mempertingkatkan hubungan bilateral antara Malaysia dan Indonesia khususnya dalam pendidikan tinggi terus dirancakkan lagi dan menjadi intipati penting bagi Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universitas Islam Negeri (UIN) Indonesia.

Sehubungan itu, pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara UUM bersama dua UIN iaitu UIN Sunan Ampel Surabaya dan UIN Raden Fatah Palembang menjadi wadah kepada tiga institusi pengajian tinggi ini untuk bekerjasama rapat demi pembangunan sektor pendidikan tinggi masing-masing.

Mohamed Khaled (tengah) menyaksikan pemeteraian MoA antara UUM yang diwakili Dr. Mohd Foad (dua, kanan) dan UIN Raden Fatah Palembang diwakili Rektor, Prof. Dr. Nyayu Khodijah (dua, kiri).

UUM telah diwakili Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan, manakala UIN Sunan Ampel Surabaya telah diwakili Rektor, Prof. Akh. Muzakki dan UIN Raden Fatah Palembang diwakili Rektor, Prof. Dr. Nyayu Khodijah.

Menerusi perjanjian yang dimeterai pada 18 Julai itu, UUM akan bekerjasama dengan kedua UIN itu bagi meningkatkan kebolehpasaran program akademik dan juga membolehkan pelajar Indonesia mengikuti Pengajian peringkat sarjana di bawah tajaan Kementerian Agama Indonesia (Kemenag).

Detik bersejarah ini telah disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Prof. Dr. Azlinda Azman.

Kerjasama antara UUM dan dua UIN ini menjadi bukti kesungguhan dan komitmen   dalam usaha mengukuhkan tahap pendidikan tinggi negara ke peringkat antarabangsa.

Di samping itu, langkah ini merupakan usaha universiti untuk meningkatkan keberhasilan akademik dan penyelidikan serta menarik pelajar dan staf dari universiti di UIN untuk datang ke UUM.

Untuk rekod, pada 29 Mei lalu, UUM telah menandatangani MoU bersama tiga UIN lain iaitu UIN Ar-Raniy Banda Aceh, UIN Mataram dan UIN Sunan Gunung Djati Bandung yang menjadikan keseluruhan lima UIN Indonesia menandatangani MoU dan MoA dengan UUM.

Sementara itu, Naib Canselor, Dr. Mohd Foad berkata, pemilihan UUM ini adalah suatu pengiktirafan buat UUM di arena antarabangsa dan kerjasama itu membolehkan pelajar warganegara Indonesia yang terpilih untuk mengikuti pengajian di peringkat sarjana di bawah kerjasama akademik antara UUM dan UIN yang akan ditaja oleh Kemenag.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan.

Menariknya, pelajar yang layak bakal menerima tajaan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan menimba pengalaman di peringkat antarabangsa dalam usaha untuk membangunkan modal insan yang holistik, mempersiapkan pemimpin, pendidik dan profesional masa depan buat negara ’Garuda’ itu.

Kumpulan pertama pelajar tajaan Kemenag ke UUM bermula pada kemasukan September 2023. Setiap pelajar tajaan Kemenag akan mengikuti satu tahun pengajian sarjana di UUM seterusnya akan menyambung satu tahun lagi pengajian sarjana di UIN terlibat, sekali gus melayakkan mereka dianugerahkan dua sijil sarjana dari dua universiti berkenaan sekiranya berjaya melengkapkan pengajian dalam tempoh dua tahun.

Kemenag mengawal selia 27 UIN di Indonesia dan turut menawarkan biasiswa bagi pelajar dan pensyarah UIN untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di seluruh dunia.

Kerjasama antara UUM dan Kemenag secara umumnya melibatkan kerjasama akademik dalam usaha untuk meningkatkan kebolehpasaran program akademik yang ditawarkan oleh UIN.

Pusat pengajian dari UUM yang terlibat dalam kerjasama akademik ini antaranya Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) dan Pusat Pengajian Pendidikan (SOE).