Gambar Unit Foto dan Media UUM
SINTOK: Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan memulakan tugas secara rasmi di Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.
Ketibaan beliau tiba di foyer Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin pada jam 7.45 pagi telah disambut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail dan ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti.
Beliau kemudian dibawa mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda bermula tugas beliau sebagai Naib Canselor dan mengaminkan doa yang dipimpin oleh Pengarah Pusat Islam, Zar Ei Zakaria sebelum dibawa melawat Galeri UUM, seterusnya diberikan taklimat tentang universiti di Bilik Mesyuarat Naib Canselor.

Mohd Fo’ad dilantik sebagai Naib Canselor UUM baharu berkuat kuasa 2 April 2023 di mana beliau telah menerima watikah pelantikan tersebut daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.
Bagaikan sirih pulang ke gagang, Mohd Fo’ad pernah berkhidmat di UUM pada 1989 dan memegang jawatan sebagai Dekan Pembangunan Pelajar UUM dari 2001 hingga 2002 serta Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi dari 2007 hingga 2013 sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) selama 10 tahun.
Kepulangan beliau ke UUM dengan berbekalkan pengalaman pentadbiran yang luas di peringkat universiti dan personaliti yang dihormati serta disenangi itu diharapkan dapat melonjakkan keunggulan UUM untuk menjadi universiti pengurusan terkemuka berpaksikan kecemerlangan akademik dan pembangunan insaniah pelajar.