Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK: Ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Zuhri Abdullah mengajak pemimpin pelajar UUM memikirkan perancangan untuk 10 tahun ke hadapan.
Berkongsi tips serta pengalaman ketika merasmikan Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) Badan Pelajar Sesi 2023/2024, beliau mengharapkan pemimpin pelajar merancang untuk mencapai matlamat dalam tempoh 10 tahun.
Mohd Zuhri berkongsi konsep yang diamalkan iaitu ‘Malaysia & I, 10 Years From Now’ di mana beliau sentiasa merancang kehidupannya dan berusaha agar mencapai apa yang telah dirancang.

“Anda semua perlu mempunyai matlamat dalam hidup, bukan sekadar mengejar harta. Jika anda tidak mengejar harta namum memiliki matlamat yang jelas, harta yang akan datang kepada anda,” katanya.
Mohd Zuhri juga berharap agar para pelajar sentiasa berpandangan jauh dalam melakukan sesuatu perkara bagi melahirkan generasi pemimpin yang berkualiti di masa akan datang.
Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) merupakan platform bagi penyampaian ilmu dan latihan kepada pemimpin badan pelajar baharu serta memberi pendedahan awal dalam konteks pengurusan organisasi.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, bengkel seperti ini amatlah perlu terutamanya di peringkat universiti untuk memberi ruang kepada pelajar bagi mengembangkan bakat dan potensi yang ada supaya keserlahan itu bukan sahaja ditonjolkan di peringkat universiti bahkan di peringkat kebangsaan.

“Saya yakin dengan adanya bengkel seperti ini, pelajar universiti ini akan dibimbing dengan matlamat dan wawasan yang lebih jelas supaya bakat kepimpinan pelajar UUM akan lebih terserlah di peringkat kebangsaan.
“Saya juga berharap agar pelajar mampu menerapkan konsep berwawasan, berintegriti dan bernilai dalam diri serta inisiatif yang dijayakan akan dapat melonjakkan nama UUM di persada dunia,” katanya di Dewan Tan Sri Othman, Jumaat lalu.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Kursus Pengurusan Oganisasi (KPO) Badan Pelajar Sesi 2023/2024, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed. – Nor Erna Jaslia Mohamad Adam (Pelajar Pelatih dari SMMTC)