UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

MoU UUM dengan 5 universiti Turkiye tingkat kerjasama pengantarabangsaan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Azri Abdul Aziz/UUM Today

ISTANBUL, 4 Mac – Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Karabuk University, Ankara Yildrim Beyazit University, Dicle University, Gebze Technical University dan Mardin Artuklu University telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Shangri-La Bosphorus dekat sini, semalam.

MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan bersama Naib Rektor Dicle University, Prof. Dr. Ahmed Tanyildiz; Rektor Gebze Technical University, Prof. Dr. Hasari Celebi; Naib Rektor Mardin Artuklu University, Prof. Dr. Yilmaz Demirhan; Naib Rektor Ankara Yildrim Beyazit University, Prof. Dr. Abullah Yildiz dan Penyelaras Hubungan Antarabangsa, Karabuk University, Dr. Adnan Ucur.

Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir turut hadir menyaksikan pemeteraian memorandum berkenaan.

Dr. Zambry (belakang dua, kiri) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara UUM dan Karabuk University.

Dr. Mohd Foad berkata, MoU itu akan memberi tumpuan kepada meningkatkan kerjasama universiti-industri dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan akademik dan pelajar serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi.

Menurutnya, usaha kolaborasi ini berfungsi sebagai medan untuk memupuk idea, yang membawa kepada hasil yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pihak yang terlibat tetapi juga menyumbang kepada pembangunan negara kita,

Katanya, inisiatif kerjasama ini juga menyasarkan hubungan strategik, efisien dan pemikiran masa hadapan antara UUM dan universiti-universiti di Turkiye termasuk pelantikan kakitangan sebagai profesor pelawat, penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah, penerbitan dan penyelidikan bersama, mobiliti pelajar melalui Program Pertukaran Mevlana dan Pembiayaan Farabi, mobiliti staf melalui pembiayaan Erasmus, penganjuran bersama seminar dan webinar, dan program kerjasama akademik seperti program ijazah berkembar.

Dr. Mohd Foad (dua, kiri) bertukar dokumen MoU dengan salah satu universiti di Turkiye bagi meningkatkan jaringan hubungan antarabangsa.

“Kerjasama ini akan memberi peluang kepada penyelidik dan pelajar untuk memperoleh pengetahuan dan meningkatkan kemahiran melalui pemindahan pengetahuan dan kepakaran yang akan memberi nilai tambah kepada industri, mengekalkan kedudukan di hadapan berbanding pesaing dalam bidang yang sama.

“UUM berharap dapat memainkan peranan kolektif dalam meningkatkan nilai pelajar melalui pendidikan, menyampaikan ilmu dan pengalaman serta membina kepakaran,” katanya.

Dr. Zambry (tengah) bergambar kenangan dengan wakil-wakil universiti di Turkiye yang menandantangani MoU dengan UUM.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; Konsul/Ketua Canselori, Pejabat Konsulat Malaysia, Istanbul, Mardhiah Sabri; Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Dr. Osman Ghazali dan pegawai-pegawai kanan universiti.