Barisan baru Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) Sesi 2022/2023 diraikan pada Sesi Pengumuman Majlis Tertinggi MPP Bilik Senat Universiti.
Kepimpinan tertinggi baru itu diterajui Yang Dipertua, Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman; Naib Yang Dipertua, Kavines Nair A/L Ananthan; Setiausaha, Emina Kulasic Bong Ei Min dan Bendahari, Aqimi Rafuad Arisza.
Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar yang menjalankan fungsi Naib Canselor.
Shahimi berkata, proses pengundian berjalan lancar dan tiada sebarang insiden yang berlaku, sekali gus menunjukkan mahasiswa UUM mematuhi peraturan yang ditetapkan dan proses pemilihan yang telus.

“Terima kasih dan tahniah kepada semua yang terpilih, gunakan kepercayaan yang diberikan ini untuk memberi perkhidmatan sebaiknya kepada pelajar, di samping membantu pihak pengurusan universiti.
“Kami sedia membantu dan perjuangkan bersama kerana apa yang diperjuangkan oleh MPP kepada pelajar turut memberi kebaikan kepada pihak pengurusan, justeru kami akan cuba memenuhi hasrat pelajar dengan sebaiknya.
“Kita diberi kebebasan namun kebebasan yang diberi ini jangan disalahgunakan, elakkan budaya negatif seperti surat layang dan komen dalam media sosial,” ujarnya.
Sementara itu, Yang DiPertua MPP, Muhammad Izuan Faiz melahirkan rasa syukur kerana diberi kepercayaan untuk memimpin MPP Sesi 2022/2023 dan akan memberi komitmen terbaik untuk berkhidmat kepada mahasiswa.
“Saya yakin jawatan ini hadir dengan satu tanggungjawab yang besar untuk memastikan suara mahasiswa UUM terus diangkat dan didengari oleh pihak pengurusan.
“Fokus saya adalah kepimpinan berteraskan aspirasi mahasiswa dengan memastikan satu kerjasama yang padu dalam kalangan pemimpin mahasiswa UUM dan membantu Universiti,” ujar pelajar Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa.

Manakala Setiausaha, Emina Kulasic pula ingin membawa perubahan yang positif dan bersedia menggalas amanah sebagai wakil pelajar demi membantu seluruh mahasiswa tanpa mengira latar belakang.
“Saya harap MPP mampu melaksanakan tugas sebagai wakil yang akan membawa hasrat yang diinginkan oleh pelajar serta menggalas tanggungjawab demi menjaga kebajikan,” katanya.
Keputusan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) Sesi 2022/2023 telah menyaksikan seramai 44 calon menang bertanding di kerusi pemilihan masing-masing di mana 10 calon akan mewakili kerusi Umum manakala 34 calon mewakili kerusi Pusat Pengajian.