UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Naib Canselor gariskan enam hala tuju utama UUM 2024

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok – Kehadiran tahun 2024 ini menjadi tahun lebih penting bagi Universiti Utara Malaysia (UUM) melaksanakan strategi hala tuju universiti, selaras dengan usia genap 40 tahun UUM.

Ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Penjawat Utama UUM 2024di EDC-UUM pagi tadi, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan menggariskan enam hala tuju utama yang ingin dicapai pada tahun 2024, iaitu kecemerlangan akademik, kelestarian kewangan, kecemerlangan penyelidikan, kelestarian komuniti dan industri, graduan holistik dan kecemerlangan perkhidmatan.

“Beberapa inisiatif atau pelan tindakan pihak berkaitan perlu untuk menjayakan perkara ini misalnya, untuk strategi mencapai keunggulan global, peranan kita adalah untuk mempertingkatkan keterlihatan UUM di peringkat nasional dan antarabangsa. 

“UUM yang sesuai dengan fokus sebagai universiti pengurusan berusaha memastikan mendapat kedudukan Nombor Satu dalam Top Business School di Malaysia. Dijangkakan KPT akan membuat pengumuman ini pada penghujung 2024,” katanya.

Dr. Mohd Foad berkata, dalam memastikan kemampanan kewangan, universiti akan meningkatkan lagi sumbangan zakat/ wakaf/ endowment dengan menyasarkan RM10 juta untuk endownmen baru. 

“Penambahan bilangan pelajar pascasiswazah akan menambah perbendaharaan universiti selain meningkatkan lagi elemen penyelidikan dan penerbitan.  

“Dalam usaha memperkasakan penyelidikan di peringkat kebangsaan yang responsif bagi memenuhi keperluan komuniti dan industri, pihak pengurusan universiti bersetuju mengangkat IMBRe sebagai Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan,” katanya.

Menurutnya, hampir RM4 juta dana diperuntukkan untuk para pensyarah bergiat aktif dalam meningkatkan lagi keupayaan penyelidikan UUM menyelongkar ilmu pengurusan secara lebih luas demi merancakkan lagi aktiviti penyelidikan.

Beliau berkata, ekosistem pembolehdaya bagi kecemerlangan perkhidmatan adalah entiti yang penting.

 “Justeru proses pendigitalan peringkat universiti akan diteruskan. Usaha yang telah dirintis oleh UUMIT sewajarnya diperkasakan lagi bagi memastikan pada tahun 2025 seluruh kampus UUM dapat menikmati suasana baru yang lebih kondusif dalam perkhidmatan,” katanya. 

Tambahnya, UUM berhasrat untuk memperluas program pembelajaran sepanjang hayat misalnya melalui kerjasama UUM dengan Kolej Komuniti dan Politeknik.

“Kita juga akan memperkasakan kaedah pembelajaran bagi melaksanakan ‘Work-based learning’ (WBL) dengan menawarkan untuk pelajar pengalaman secara hands-on satu tahun dengan rakan industri,” katanya.

Jelasnya, atas faktor tadbir urus yang lebih kompeten dan memperkasakan pentadbiran, pelantikan kali ini untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa Januari 2024 dan berakhir pada Disember 2025.  Namun ada juga pelantikan yang hanya setahun atas faktor yang telah diambil kira atas kepentingan universiti.

“Kita bukan hanya mewarisi UUM daripada generasi lepas, tapi kita turut meminjam UUM daripada generasi akan datang. Kita perlu bekerja dan berusaha segigih yang mungkin untuk sediakan landasan lebih baik untuk generasi akan datang, supaya UUM terus menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka pada masa hadapan.

“Yang penting, kita melaksanakan sebaik mungkin amanah yang diberikan.  Saya ingin mengajak semua warga UUM untuk cuba bekerja dalam ekosistem yang harmoni.  Usahakan untuk tidak bekerja dalam ruang ‘silo’,” katanya lagi.