Gambar Hairul Nizam Zahari/UUM Today
SINTOK: Kejayaan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) meletakkan diri dalam ranking dunia mengagumkan Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan ketika melawat pusat pengajian tersebut, semalam.
Pada sesi taklimat oleh Dekan SQS, Prof. Madya Dr. Mohd Kamal Mohd Nawawi itu, Naib Canselor tertarik dan ingin mengetahui rahsia yang diguna pakai oleh SQS yang berjaya melonjakkan kedudukan di tangga 301-400 terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subject 2023 untuk Physical Sciences: Mathematics & Statistics.
Pencapaian itu sekali gus meletakkan UUM di tangga pertama dalam negara bagi subjek berkenaan.
Dekan menyatakan bahawa SQS telah mengadakan beberapa siri lawatan penanda aras ke beberapa universiti penyelidikan (RU) di Malaysia bagi mempelajari dan mengetahui strategi yang diguna pakai universiti lain.
Mohd Foad juga menyarankan pusat pengajian agar mengadakan jalinan kerjasama dengan pihak industri seterusnya memeterai satu perjanjian kerjasama seperti memorandum persefahaman (MoU) atau memorandum perjanjian (MoA).
Di samping itu, beliau mencadangkan agar pusat pengajian dapat menjalin kerjasama luar bagi perkembangan pendidikan di UUM.
Menurut Mohd Kamal, buat masa ini SQS menjalin kerjasama yang baik dengan Intel Technology Sdn. Bhd., selain daripada jalinan MoU antarabangsa seperti High National School of Statistics and Applied Economics (ENSSEA), Algeria.
Di akhir lawatan, Naib Canselor dibawa melihat prasarana di SQS dan meninjau sendiri makmal komputer di bawah kendalian UUMIT.