Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today
SINTOK: Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan hari ini meraikan pelajar Sarjana Muda Undang-undang dari Pusat Pengajian Undang-undang (SOL) yang telah mengharumkan nama Malaysia dan universiti dalam beberapa pertandingan, baru-baru ini.
Mereka ialah Deevagaran Naidu Baskaran yang mewakili JCI Malaysia ke Pertandingan JCI Asia Pacific Conference Debate Competition Peringkat Asia Pasifik anjuran Junior Chamber International (JCI).
Pasukan Deevagaran telah muncul johan pertandingan tersebut, seterusnya akan mewakili Asia Pasifik ke peringkat dunia yang bakal berlangsung di Zurich, Switzerland pada November depan.
Selain itu, Pasukan Advokasi dan Mut UUM disertai Kareena Kaur Gill a/p Karamjit Singh, Parmeenjit Kaur a/p Charanjit Singh, Salafiyyunis Sofea Mohd Shaharol dan Yasmeen Hanim Mohamad Zul-Hilmy yang dinobatkan sebagai naib johan dalam pertandingan Harun M. Hashim National Client Consultation Competition (NCCC 2023) Peringkat Kebangsaan anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Semasa pusingan akhir, Pasukan Advokasi dan Mut UUM bertemu dengan pasukan UIAM.
Pada 2013, UUM pernah mendapat tempat ketiga; 2012 (tempat kedua) dan 2011 menjadi johan pertandingan berkenaan, malah pernah menjadi tuan rumah pada 2015 dan 2016 sebelum dipilih semula sebagai hos pada tahun depan.
Pada pertemuan itu, Dr. Mohd Foad mengucapkan tahniah atas kejayaan kesemua pelajar terbabit kerana telah mengharumkan nama negara dan UUM.
Beliau berharap kejayaan itu akan menjadi pemangkin semangat kepada semua pelajar untuk terus melakar kejayaan bukan sahaja untuk universiti, malah pencapaian peribadi.
Turut serta, Dekan SoL, Prof. Madya Dr. Zainal Amin Ayub yang juga Penolong Naib Canselor UUM COLGIS dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain.