UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Naib Canselor santuni staf sakit   

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

JITRA: Dalam kemeriahan menyambut lebaran yang bakal menjelang, keprihatinan Universiti Utara Malaysia (UUM) terhadap warganya tidak dilupakan.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan meluangkan masa melawat staf UUM yang mengalami masalah kesihatan pada Lawatan Kunjungan Kasih Ramadan 1444, pagi tadi.

“Hari ini, kita menziarahi dua staf UUM yang menghadapi masalah kesihatan. Kunjungan ini sebagai tanda kita ambil peduli dan sentiasa prihatin dengan staf yang kurang sihat dan kita mendoakan semoga mereka cepat sembuh.

“Melalui ziarah seperti ini staf mendapat motivasi dan memberi keceriaan. Saya amat kagum dengan semangat mereka yang mahu cepat sembuh dan kembali bertugas,” ujarnya.

Setelah meneliti keadaan staf ini katanya, UUM mempertimbangkan dengan sewajarnya terhadap aspek keperluan asas dan memberi keutamaan pada kebajikan staf.

Mengulas lanjut katanya, dalam konteks kesihatan insurans amatlah penting kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan justeru dengan mengambil insurans dapat memberi perlindungan apabila berhadapan dengan musibah yang tidak dijangka.

Rumah pertama yang dikunjungi, pensyarah Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Rohaya Dahari @ Damiri di Taman Ihsan, Jalan Ibrahim, Jitra yang diuji dengan penyakit kanser.

Sejurus selepas itu, Naib Canselor juga meluangkan masa melawat seorang lagi staf UUMIT, Fairuz Addnan, di Taman Seraya, Changlun, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.  

“Saya berasa amat terharu dengan kedatangan pihak UUM yang sudi meluangkan masa melawat saya yang terlantar sakit. Terima kasih kepada Naib Canselor dan staf atas keprihatinan,” katanya.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Hak muslim ke atas muslim enam perkara: Dikatakan (sahabat bertanya): Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW berkata: Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam ke atasnya. Apabila kamu diundang maka penuhilah, jika apabila dia meminta nasihat kepadamu, maka berilah nasihat kepadanya. Apabila bersin, maka ucapkanlah hamdalah serta balaslah (dengan doa: yarhamkallah). Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia. Apabila dia meninggal, maka hantarlah jenazahnya ke kubur.”

                                                                           [Riwayat Muslim (2162)]