UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Naib Canselor santuni staf sempena Ramadan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today

CHANGLUN, 3 April – Sempena Ramadan dan bakal menjelma Syawal, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan menyantuni staf dan pesara Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menghadapi masalah kesihatan di Changlun dan Arau, Perlis, hari ini.

Mereka ialah pesara, Yaacob Jusoh yang merupakan mantan Pendaftar UUM; pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Siti Norliza Jumali dan Pembantu Awam Jabatan Penyenggaraan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI), Mohd Redzuan Kasa@Awang.

Anak Yaacob, Prof. Madya Dr. Noorulsadiqin Azbiya berkata, beliau berterima kasih kepada pengurusan UUM dan Naib Canselor kerana sudi meluangkan masa menyantuni bapanya yang menghidap parkinson.

Kedatangan Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan disambut oleh isterinya, Azizah Yaacob.

Sementara itu, Nur Rayatul Amiza Mohd Ghazali, isteri kepada Mohd Redzuan turut mengucapkan terima kasih kepada Naib Canselor kerana sudi menziarahi dan memberi semangat kepada suaminya agar boleh berkhidmat semula walaupun pergerakan agak terbatas.

Menurutnya, suaminya terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menjaga arwah mentua pada November tahun lalu.

“Akibat kemalangan itu, pergelangan tangan kiri dimasukkan plat dan sendi lutut kanan dipasangkan arial yang baru saja dibuka pada minggu lalu.

“Kini suami semakin beransur pulih dan boleh berjalan menggunakan tongkat bagaimanapun, tangan kirinya masih belum sembuh sepenuhnya lagi,” katanya yang bekerja di Jabatan Sumber Manusia.

Mohd Redzuan yang masih cuti sakit mempunyai empat orang anak berusia antara sembilan hingga 22 tahun.

Siti Norliza pula menerima kunjungan Naib Canselor yang bersimpati atas nasib anak perempuannya, Putri Majdina Faqihah, 23, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) terbantut perkembangan otak dan fizikal serta menghadapi masalah pembelajaran.

Menurutnya, sejak 2015 anaknya perlu mencuci buah pinggang setiap hari berikutan menghidap penyakit buah pinggang kronik.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada UUM dan Naib Canselor atas keprihatinan dan kesudian untuk berkunjung bertanya khabar,” katanya.

Dr. Mohd Foad telah menyampaikan bingkisan Aidilfitri kepada tiga staf termasuk pesara UUM yang menghidap masalah kesihatan dan ahli keluarga yang sakit.

Hadir sama, Ketua Unit Kebajikan, Jabatan Sumber Manusia, Mohd Yusnaidi Md. Sabri.