UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Naib Canselor sembah maklum perkembangan UUM kepada Raja Muda Kedah

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fuad Hamid

ALOR SETAR: Pro-Canselor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah telah perkenan menerima menghadap Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan di Wisma Darul Aman, pagi ini.

Selepas memperkenalkan diri beliau sebagai Naib Canselor ke-10 UUM, Mohd Fo’ad menyembah maklum tentang beberapa perkara, antaranya Majlis Konvokesyen Ke-35 tahun 2022 dan Majlis Konvokesyen Ke-36 bagi tahun 2023 serta perkembangan terkini UUM termasuk pencapaian dan kejayaan universiti.

Pada sesi itu, beliau menyembah maklum bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah, Tuanku Canselor UUM telah memperkenankan tarikh Majlis Konvokesyen Ke-35 yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Julai 2023.

Mohd Fo’ad (kiri) menyembah maklum tentang perkembangan universiti kepada Tuanku Pro-Canselor (tengah) pada majlis menghadap, hari ini.

Selain itu, Tuanku Pro-Canselor juga disembah maklum tentang pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL) dan penawaran program ‘Hybrid and Flexible Learning’ (HYFLEX).

Di akhir sesi menghadap berkenaan, Tuanku Pro-Canselor telah menzahirkan rasa gembira dengan pencapaian UUM.

Selain itu, Tuanku juga menekankan agar UUM terus memberi khidmat dan berkongsi kepakaran yang dimiliki untuk bersama-sama membangunkan negeri Kedah.

Turut serta, Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah; Pengarah Canselori, Mohamad Fadzil Samiran dan pegawai-pegawai kanan universiti.