UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Naib Canselor tinjau projek kambing dan cili fertigasi

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

GAMBAR HAIRUL NIZAM ZAHARI/UUMTODAY

Kubang Pasu: Kerajaan menyediakan pelbagai insentif dan peluang pertanian komuniti demi meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi rakyat antaranya melalui projek penanaman fertigasi cili iaitu ‘Development of Modern Agriculture Community’ (D’MAC) dan Projek Kambing Rakyat (PROKar).

Untuk itu, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Foad Sakdan meninjau perkembangan projek penanaman fertigasi cili dan projek kambing masing-masing terletak di Changlun dan Kodiang, Kedah.

Dr Mohd Foad meluangkan masa di tapak projek cili di Kampung Tradisi, mengikuti taklimat dan beramah mesra bersama peserta, penyelidik dan masyarakat setempat. Manakala di Kampung Damai, Kodiang, beliau melawat kandang kambing dan kawasan penanaman rumput napier selain turut menanam rumput bersama pelajar.

Mengiringi Dr Mohd Foad ialah Ketua Projek PROKar, Prof. Dr. Siti Hadijah Che Mat dan Ketua Projek D’MAC, Dr. Rozana Samah.

Jelasnya, program sosial enterprise yang diketuai oleh Prof Mukaramah Harun menyaksikan dua projek ini yang merupakan Inisiatif Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) bernilai RM825,000.

“Projek fertigasi cili D’Mac melibatkan 20 peserta di sekitar Mukim Temin dan Mukim Sungai Laka. Sehingga kini, semua peserta dalam fasa penanaman cili untuk musim pertama dan telah mengikuti kursus fertigasi cili, kursus pengurusan kewangan, kursus pemasaran digital.

“Projek PROKar pula dijalankan di Kodiang melibatkan lima peserta menternak kambing yang dibekalkan dengan 30 ekor kambing dan kandang selain dua peserta menanam rumput napier.  

“Projek tanaman rumput napier pula merupakan salah satu projek tambahan yang penting dalam program ini khususnya bagi menyokong keperluan makanan kepada penternak,” ucapnya ketika merasmikan Program Semarak Siswa Madani, kelmarin.  

Melalui penghasilan produk cili, ternakan dan rumput napier ini, peserta bukan sahaja dapat menambah pendapatan malahan dapat membantu masyarakat setempat dengan menyediakan peluang pekerjaan bagi memasarkan produk hiliran yang dihasilkan secara tidak langsung menjadi seorang usahawan yang berjaya.

“Bagi penduduk kampung yang terpilih ini, saya berharap agar peserta gunalah peluang dan bantuan serta bimbingan yang diberikan oleh penyelidik UUM ini dengan sebaik-baiknya.

“Aktiviti penyelidikan yang berbentuk khidmat komuniti ini juga mampu merapatkan hubungan antara UUM dengan agensi yang berkaitan seperti Jabatan Verterinar, KEDA, Jabatan pertanian dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) memandangkan selepas daripada tamat pelaksanaan projek ini, agensi yang telah dikenalpasti ini akan meneruskan usaha dari segi bimbingan dan pemantauan,” ujarnya.

Beliau merakamkan sekalung penghargaan kepada Dekan Pusat Pengajian Ekonomi Kewangan dan Perbankan (SEFB) dan Pengarah Economic and Financial Policy Institute (ECOFI) selain mengucapkan tahniah kepada ketua projek dan peserta.

Beliau berharap peserta melaksanakan projek ini dengan penuh dedikasi dan sentiasa memberi kerjasama yang terbaik dan dengan bantuan yang diberikan ini dapat membantu meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti luar bandar.