Gambar: Google
Hari mengundi dah dekat. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun sudah menetapkan 19 November 2022 sebagai hari membuang undi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Namun, muka-muka yang dicalonkan adalah pemimpin yang terpalit dengan kes rasuah dan penyelewengan selain berpecah-belah kerana wujudnya kerakusan dalam politik.
Sepatutnya mereka memberi laluan kepada pemimpin lain dan tidak menawarkan diri untuk bertanding dalam PRU15 nanti sekali gus membuka peluang kepada generasi masa depan mendapat kerajaan yang lebih baik.
Ya, rakyat menolak mentah-mentah pemimpin yang terpalit dengan kes rasuah dan penyelewengan tetapi jangan kerana pemimpin yang rekodnya sudah tercemar, bermasalah dan kes masih dibicarakan di mahkamah menjadi punca segelintir tidak mahu keluar mengundi dan membuat undi rosak sebagai protes kepada budaya politik Malaysia.

Fikir balik siapa yang rugi? Jika keadaan ini terjadi, bagaimana hala tuju dan masa depan Malaysia? Sedangkan 1 undi kita sangat berkuasa untuk mengubah segala-galanya.
Ramai yang tak ambil ‘port’ tentang mengundi. Mujurlah sebagai umat Islam Nabi kita sudah diberi panduan bagaimana untuk memilih pemimpin yang akan menerajui sesebuah negara.
Imam al-Ghazali berkata: “Pemimpin yang adil adalah pemimpin yang menghukum dengan penuh keadilan dan berkata dengan penuh kebenaran. Tidak menyakiti hati orang dan jujur sama ada kepada diri sendiri, mahupun kepada orang lain.”
Dari perspektif Islam, mengundi bukan hanya tanggungjawab sebagai warganegara malah merupakan ibadah dan kewajipan yang mesti ditunaikan bersesuaian dengan konsep kesaksian dalam Islam.
Menurut Yusuf al-Qaradawi, mengundi merupakan salah satu bentuk penyaksian yang tidak boleh ditolak apabila sampai masanya. Malahan tidak mengundi boleh dianggap sebagai menyembunyikan penyaksian yang bertentangan dengan tuntutan Islam.
Gagal untuk menyatakan kesaksian melalui peti undi boleh dianggap sebagai salah satu bentuk penyembunyian kesaksian yang dilarang dalam Islam. Trend undi rosak dan tidak keluar mengundi bukan cara kita khususnya umat Islam kerana tindakan itu bertentangan dengan tuntutan kepada semua warga yang layak untuk memilih pemimpin.

Bayangkan sekiranya kita tidak melaksanakan kewajipan ini akhirnya calon yang dipilih membawa mafsadah (kerosakan) kepada agama dan umat itu sendiri, pada waktu itu menyesal pun tak guna.
Surah al-Qasas ayat 26, Allah berfirman:
“… sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”
Dua sifat yang diperlukan iaitu kuat (mampu) dan amanah (boleh dipercayai) tetapi jika pilih pemimpin yang ada salah satu, binasalah politik negara. Jika sekadar ada kemampuan, tetapi tidak ada amanah, maka dia cenderung khianat dan menipu. Kalau dia ada amanah tetapi tidak berkemampuan, dia mudah ditipu. Jadi, dua-dua sifat ini harus ada..
Inilah masanya rakyat menggunakan sepenuhnya kuasa sebagai pengundi dalam PRU15 nanti untuk memilih calon yang bersih, berintegriti, kuat, dipercayai, bijaksana, berwawasan dan mempunyai solusi untuk kembalikan negara ke landasan yang betul mengikut Quran dan Sunah.
Dalam situasi ini, undilah calon yang kurang mafsadahnya (yakni kerosakan, kebinasaan, kehancuran) sama ada kepada Muslim mahupun kepada Islam itu sendiri. Semua berbalik kepada rakyat, kerana kuasa di tangan kita pada 19 November ini.