UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Nama empat menteri tidak ‘lekat’

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar ASYRAF HAMZAH/ BH Online

Kuala Lumpur – Empat menteri kabinet Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, digugurkan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengumuman itu dimaklumkan oleh Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN, malam tadi.

Mereka ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (Arau); Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba (Tenggara) dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang membuat penampilan semula dinamakan sebagai calon di Kota Tinggi menggantikan Halimah.

Halimah, Shahidan dan Adham antara empat menteri yang tidak dicalonkan oleh BN untuk PRU15. Gambar Google

BN mempertaruhkan muka baharu di Parlimen Arau iaitu Datuk Rozabil Abdul Rahman, manakala Ketereh oleh Ketua Puteri UMNO Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin.

BN turut meletakkan calon muka baharu di Tenggara iaitu Ketua Pemuda UMNO Tenggara, Mandzri Nasib.

Sementara itu, selain beberapa menteri, empat timbalan menteri juga digugurkan.

Mereka ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar) dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib yang tidak dicalonkan semula di kerusi Parlimen Maran.

BN mempertaruhkan Marzuani Ardila di Ketereh selepas Annuar tidak dicalonkan pada PRU15. Gambar Google

Turut digugurkan, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah di Parlimen Jasin.

Beliau sebelum ini mengumumkan untuk tidak bertanding dalam PRU ke-15 (PRU15) kali ini.

Juga tidak dinamakan semula, ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Tempat Zahidi digantikan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan, manakala kerusi Parlimen Maran diwakili EXCO Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman dipertaruhkan di kerusi Parlimen itu manakala Jasin pula, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Roslan Ahmad.