UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

NC UUM ajak rakyat sambung belajar melalui ODL

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Unit Foto dan Media/UUM Today

SINTOK: Selaras dengan falsafah pembelajaran sepanjang hayat, Universiti Utara Malaysia (UUM) akan terus membuka peluang kepada seluruh warga Malaysia untuk menyambung pengajian di universiti berfokuskan pengurusan berkenaan.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, ini termasuk masyarakat antarabangsa untuk menuntut ilmu bersama warga pendidik di bumi Sintok melalui secara langsung atau secara atas talian.

Dr. Mohd Foad mengajak rakyat malaysia untuk melanjutkan pengajian melalui ODL.

“Saya ingin mengajak orang ramai untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Bagi yang belum berijazah, ambillah ijazah sarjana muda dan mereka yang sudah berijazah, boleh menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan seterusnya ke peringkat Doktor Falsafah.

“UUM sentiasa komited dalam penyediaan platform yang kondusif dalam hal berkaitan menuntut ilmu ini.

“Justeru, UUM kini rancak menyediakan prasarana ICT dan bilik kuliah pintar yang mencukupi untuk menawarkan program secara atas talian ataupun dikenali sebagai Open Distance Learning (ODL) yang akan ditawarkan mulai September tahun depan,” katanya pada sesi terakhir, yang kesembilan Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM, petang ini.

Turut diraikan, beberapa personaliti terkenal yang menaiki pentas menerima ijazah mereka, antaranya Tomok, Haziq AF, Pekin Ibrahim, PU Hilmi dan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin.

Penyanyi, Tomok antara penerima ijazah kelas pertama Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM, petang ini.

Petang ini, seramai 768 graduan daripada Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) menerima ijazah masing-masing yang disampaikan Niab Canselor.

Dr. Mohd Foad juga menitipkan pesanan kepada graduan UUM agar menjadi seorang yang cemerlang baik dalam bidang akademik mahupun dari sudut peribadi dan sahsiah ketika menuntut ilmu.

Menurutnya, sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan terutamanya ketika melaksanakan tanggungjawab dan amanah kerja agar mendapat keberkatan hidup dan kejayaan berterusan.

Pada 16 Februari 2024, UUM akan mencapai usia 40 tahun dan tahun hadapan akan dijadikan sebagai Tahun Melawat UUM, justeru pelbagai program akan dilaksanakan sepanjang tahun depan termasuklah Program ‘Homecoming’ bagi merasai kembali zaman belajar selama tiga hari dua malam di UUM.