UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

NC UUM rasmi Pembukaan Latihan Pegawai Kadet PALAPES 2024

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK, 17 Januari – Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Majlis Pembukaan Latihan Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) bagi tahun 2024.

Perbarisan Majlis Pembukaan Latihan Kadet PALAPES ini melibatkan 12 pegawai dan 136 pegawai kadet yang disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan di Padang Kawad UUM.

Dalam ucapan beliau berkata, pegawai kadet harus memanfaatkan segala bentuk ilmu, pelajaran serta bimbingan yang telah diberikan oleh setiap jurulatih supaya dapat diaplikasi pada masa hadapan.

Menurutnya, latihan kadet merupakan peluang baik untuk uji ketahanan diri dari segi mental dan fizikal dan beliau juga berharap agar semua pegawai kadet akan mengikuti latihan ini sehingga ditauliahkan.

Beliau juga mengucapkan tahniah atas pencapaian PALAPES sepanjang tahun 2023 antaranya Majlis Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam Ke – 41 pada 9 September 2023 dan juga Pegawai Muda Intake 36 yang berjaya memenangi Pertandingan Kawad Perisai Panglima Tentera Darat yang menjadi rebutan semua PALAPES yang bertanding dan menjadi kebanggaan pasukan yang menang.

“Saya ucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Timbalan Komandan, Ketua Jurulatih dan semua peringkat anggota serta pegawai kadet kerana memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan majlis istiadat pentauliahan berlangsung dengan cemerlang sehinggakan pasukan kita telah menjadi ‘benchmark’ kepada pasukan penganjur yang baru,” katanya.

Pada hari tersebut, turut diadakan acara pemakaian pangkat pegawai kadet, sesi taklimat kepada Naib Canselor dan lawatan sekitar Markas PALAPES serta pemakaian pangkat Pegawai Sukarela.

Untuk rekod, pengambilan PALAPES tahun ini melibatkan 168 orang kadet yang terdiri daripada 82 tentera darat, 40 tentara laut dan 46 tentara udara. – Kirti Vithyananthan (Pelajar Pelatih dari SMMTC)