Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today
SINTOK: Hari ketiga menjalankan tugas sebagai Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan meneruskan Siri Jelajah Moreh Naib Canselor bagi mendekati dan menyelami permasalahan dan hasrat pelajar universiti ini.
Malam tadi, selesainya solat tarawih, beliau telah bersama-sama pelajar INASIS Grantt dan TM di Dewan TM.
Pada sesi itu, Mohd Fo’ad berkongsi pengalaman beliau yang pernah menjadi Pengetua di INASIS Grantt (dahulu dikenali EON) sebelum memulakan sesi soal jawab bersama pelajar.

Menurut beliau, pelajar sebagai seorang pemimpin perlu bertindak secara rasional dan menggunakan kaedah pemikiran yang matang serta melihat sesuatu isu dari sudut yang lebih luas.
“Apabila berdepan dengan masalah, bertindak dengan tenang dan cuba menyelesaikan isu atau permasalahan yang pastinya ada jalan atau keputusan terbaik.
“Saya berharap kepimpinan pelajar ini akan mengamalkan dan menggunakan kaedah kemuafakatan untuk berbincang antara satu sama lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan pelajar agar mencari pengalaman yang maksimum dalam bentuk kemahiran insaniah dan sahsiah sebelum memasuki alam pekerjaan yang lebih mencabar.
Naib Canselor turut menjawab isu berkaitan diskaun pemotongan yuran kepada pimpinan pelajar di peringkat INASIS di mana beliau dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Marthada Mohamed akan berbincang tentang polisi tersebut.
Malah, beliau juga bersetuju dengan permintaan untuk memperbanyakkan aktiviti sukan dan telah menyatakan kesediaan untuk menaja satu piala khas bagi penganjuran pertandingan sukan.