Berita oleh: Pelajar Penulisan Berita (A221)
Gambar oleh: Azri Hasbiee
SINTOK: Golongan belia terutama pengundi muda kalangan mahasiswa yang pertama kali membuang undi digalakkan memilih pemimpin yang berintegriti dan tanpa rasuah ketika membuat pilihan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 tahun ini.
Mereka diminta keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia selepas kerajaan menukar polisi pengundian dalam pilihan raya daripada umur 21 kepada 18 tahun bagi memilih pemimpin yang akan menerajui negara ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha berkata, setiap pengundi kalangan mahasiswa harus mempunyai sifat bijak dalam membuat pilihan dalam pilihan raya.
Katanya, kerajaan yang stabil sangat diperlukan ketika ini dan pemilihan anda adalah sangat signifikan.
Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara Kedah (MKN), Zawawi Zakaria, berkata golongan muda mesti tanpa segan silu untuk keluar mengundi kerana setiap undi mempunyai makna dan perlulah bijak dalam membuat pilihan dalam memilih pemimpin negara.
Selain itu katanya, MKN menyertai program kempen ini kerana mahu dekati mahasiswa dan mahasiswi bagi berkongsi maklumat tentang keadaan keselamatan termasuk soal intergriti di Kedah dan Malaysia.

“Golongan warga emas berharap semua belia dapat menyertai pilihan raya umum ke-15 kali ini kerana “Undi Anda Penting Untuk Masa Depan Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Kempen Satu Jari Tanpa Rasuah anjuran Kelab Patriot Chapter Kedah bersama rakan persatuan lain, Kelab Patriot Chapter Pulau Pinang, Kelab Patriot Chapter Perlis, Permedia dan Kelab Patriot Chapter Borneo.
Hadir sama Pengerusi Rasuah Busters, Dr. Azahar Kasim, Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Prof Madya Dr Nazariah Osman, Ketua Penolong Pengarah MKN Kedah, Bakhtiar Effendy Khalid, Pengerusi Rasuah Busters Pulau Pinang, Rosni Rashid dan Timbalan Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Shahrir Rizal Kasjoo.

Seramai 40 ahli jawatankuasa program daripada lima kelab saling bekerjasama bagi menjayakan kempen ini sebaiknya. Selain itu, kempen ini turut dihadiri oleh lima presiden kelab.
Sementara itu, Azahar berkata dalam kempen tersebut, jika pemilihan pemimpin tidak tepat, akhirnya negara akan berhutang dan generasi anda yang harus menanggungnya.
Beliau menekankan supaya kita tahu siapa yang kita pilih kerana ia akan menentu kerajaan yang memerintah.