UUM Today

Menu Close

PACE raikan kejayaan graduan PJJ

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), UUM meraikan kejayaan graduan Pengajian Jarak Jauh (PJJ) yang menamatkan pengajian serta menggenggam segulung ijazah.  

Naib Canselor, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, bekerja dan belajar dalam satu masa adalah perjalanan yang mencabar tapi matlamatnya sama, iaitu menggenggam segulung ijazah.

“Usaha menggenggam ijazah ini merupakan satu perjalanan yang tidak dilalui semua orang tapi berbekalkan hati yang cekal dan laluan sukar kejayaan akan dicapai.

“Ingatlah orang yang banyak berkorban adalah pasangan anda sama ada suami atau isteri kerana hujung minggu, anda tidak seperti keluarga lain jadi berterima kasihlah pada mereka yang berkorban untuk anda,” katanya.

Beliau menyeru graduan supaya menjadi individu yang mempunyai integriti diri, komitmen tinggi, menabur bakti, pembawa kebaikan yang dinantikan masyarakat di luar sana.       

Beliau menyifatkan ijazah sebagai satu perantara untuk menjadi warga negara dan staf yang lebih baik. Rata-ratanya berada dalam sistem dan pentadbiran negara di pelbagai peringkat, justeru pastikan anda memberi yang terbaik sentiasa membawa kebaikan, sebarkan kebaikan dan kasih sayang,demi agama, bangsa dan negara.

Naib Canselor merasmikan Majlis Makan Malam Graduan PJJ 2022, di EDC-UUM

“Sekiranya terbang tinggi namun setinggi mana pun anda terbang jangan lupa jalan pulang ke sarang, jangan kerana ijazah ini merubah diri kita. Seandainya menjadi insan berjaya jadilah seperti resmi padi, makin berisi makin menunduk,” ucapnya pada Majlis Makan Malam Graduan PJJ 2022, di EDC-UUM, semalam. 

Sementara itu, wakil graduan, Noradlie Abdul Raub berkata, dalam menempuh pengajian ini tahun ke tahun dilalui dengan penuh cabaran dan dugaan untuk melengkapkan kursus teras universiti, teras program, program elektif dan elektif bebas termasuk kegiatan kokurikulum.

“Sistem pembelajaran ini sebenarnya membezakan kami dengan graduan universiti lain. Inilah kekuatan kita, keistimewaan UUM dan betapa beruntungnya bergelar graduan UUM.

“Majoritinya memulakan pengajian pada tahun 2017 menikmati dua suasana pembelajaran yang berbeza iaitu pembelajaran secara bersemuka dan secara maya setelah negara dilanda pandemik Covid-19. Keadaan pembelajaran telah menjadi satu cabaran yang sukar di seluruh institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Naib Canselor menyampaikan anugerah kepada graduan cemerlang.

“Namun dengan usaha pihak UUM terutama pihak PACE yang sentiasa cakna dengan sentiasa memberikan perkhidmatan pembelajaran kondusif, maka graduan dapat berjaya menamatkan pengajian,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam. 

Selain itu katanya, majlis ini menjadi tradisi PACE dalam meraikan pelajar, yang tidak dapat dilaksanakan pada sidang konvokesyen lepas ekoran pandemik COVID-19.

“Kini penantian berakhir kami sebagai graduan amat bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian di UUM. Sebagai anak didik UUM, kami berbangga menjadi salah satu produk dan kagum dengan sistem pembelajaran yang disusun di UUM,” katanya.