UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pameran ‘Explore Our Journey For 40 years’ pamer evolusi PSB selama 4 dekad

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail/UUM Today

SINTOK: Staf di perpustakaan merupakan antara orang penting dalam memelihara khazanah ilmu yang berguna kepada pelajar, pensyarah, negara dan masyarakat.

Ketua Pustakawan, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Prof. Madya Dr. Che Azlan Taib berkata, individu yang bertugas di perpustakaan mesti ingat bahawa mereka merupakan orang penting dalam aktiviti mengurus, memberi, menyumbang serta memelihara khazanah ilmu yang berguna kepada masyarakat dan negara.

Dr. Che Azlan.

“Jika saya boleh umpamakan PSB sebagai seorang manusia, sebagai seorang individu, maka pada usia 40 tahun, kita wajar mengharapkan individu tersebut cukup matang dalam pelbagai sudut kehidupan.

“Orang yang matang ini dalam konteks pembangunan negara sudah tentu mempunyai wawasan besar untuk masyarakat dan untuk negara,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Pameran ‘Explore Our Journey For 40 Years‘ di PSB, baru-baru ini.

Pameran ‘Explore Our Journey For 40 Years’ bakal mempamerkan evolusi yang berlaku terhadap perpustakaan dari segi perkhidmatan yang ditawarkan dan persekitaran PSB dalam tempoh 4 dekad ini.

Pameran ini dijangka dapat menarik minat pengguna PSB untuk melihat dan menghayati secara lebih dekat garis masa penubuhan perpustakaan dan kampus bermula dari tahun 1984.

Dr. Che Azlan berkata, dengan adanya pameran ini, kita boleh lihat kembali dan merasai usaha-usaha dan pengorbanan orang terdahulu dalam membangunkan kampus UUM ini seiring dengan perkembangan ekonomi dan teknologi dunia sehingga UUM mampu bersaing di persada dunia pada masa kini.

“Pameran ini diharap mampu menerapkan penghayatan nilai-nilai murni melalui perkongsian sejarah pembangunan PSB dan memupuk kecintaan dan penghargaan kepada universiti melalui perkongsian sejarah pengasasan UUM.

“Selepas 4 dekad beroperasi, menabur bakti dan melahir ramai graduan berkualiti, sudah pasti harapan dan jangkaan UUM serta masyarakat sekeliling semakin meninggi terhadap PSB,” ujar beliau.

Antara aktiviti lain yang akan diadakan sempena 40 Tahun UUM termasuklah Pameran Online Garis Masa PSB 40 Tahun, Pameran Garis Masa PSB 40 Tahun, Pertandingan TikTok Pengasasan@PSB, Dokumentasi PSB 40 Tahun, Penerbitan Siapakah Siapa UUM, Naratif Mantan Ketua Pustakawan, Forum Mengimbau Kenangan Menggamit Harapan dan Makan Malam Nostalgia PSB. – Nasiha Abdul Rashid