UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pasangan ‘frontliners’ PKP, akhirnya terima ijazah sarjana

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Ihsan Mazrina Osman dan Shamsaimi Ezil/UUM Today

SINTOK: Terpaksa tangguh pengajian selama satu semester, tidak mematahkan semangat graduan ‘frontliners’ Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menamatkan pengajian peringkat Sarjana Sains (Pengurusan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan).

Pegawai Pemulihan Perubatan Carakerja, Mazrina Osman, 38, dan suami, Fairulnizam Razali, 38, yang merupakan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran terpaksa berkorban apabila tugas hakiki memanggil mereka menjadi petugas barisan hadapan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 2020.

Menurut Mazrina, apabila Covid-19 melanda dan arahan PKP, beliau dan suami bersepakat untuk memohon penangguhan pengajian sesi Semester Kedua Mei 2019/2020 atas sebab beban tugas yang sangat tinggi dan perlu terlibat sebagai ‘frontliners’.

“Sewaktu kes Covid-19 meningkat, banyak halangan dan dugaan yang terpaksa kami lalui dalam membahagikan masa antara bekerja dan belajar, malah sesi kuliah juga terpaksa dijalankan secara maya dan semua program luar terpaksa ditunda.

“Peperiksaan akhir semester juga terpaksa diambil di rumah secara ‘take home examination’. Di sinilah dugaan bermula apabila kami menduduki peperiksaan secara online di rumah dan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa yang menguji tahap kesabaran dan kekuatan emosi.

“Walaupun saya mempunyai peluang untuk konvo lebih awal pada Julai lepas tetapi saya memilih untuk konvo bersama dengan suami kerana keberkatan dan izin daripadanya juga membolehkan saya berada di sini pada hari ini,” kata ibu kepada tiga anak berusia enam hingga 12 tahun itu.

Mazrina dan suami, Fairulnizam berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana meskipun terikat dengan kekangan tugas sebagai petugas barisan hadapan.

Minat mendalam untuk menambah ilmu terutama dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan telah mendorong Mazrina untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana secara Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) pada 2019.

Katanya, beliau mengajak suami untuk bersama-sama sambung belajar tetapi ditolak kerana kekangan tugasan hakikinya ketika itu, bagaimanapun akhirnya suami bersetuju setelah pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) mencadangkan agar Fairulnizam turut serta mendaftar berikutan ketiadaan pelajar wanita lain bagi jurusan sama ketika sesi pendaftaran awal.

Kelas semester pertama mereka bermula di Amazon 1 Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, Ayer Keroh, Melaka di mana beliau dan suami serta rakan sekuliah seramai 21 orang hanya sempat menjalani pembelajaran secara bersemuka bagi satu semester sahaja.

Sementara itu, Fairulnizam berkata, bukan mudah bergelar pelajar mod PJJ ini kerana perlu bijak membahagikan masa antara pengajian, keluarga dan komitmen kerja hakiki, malah ada di antara mereka yang terpaksa bermalam di tempat kerja.

Namun, beliau bersyukur kerana sikap memahami, berfikiran terbuka, bertukar dan berkongsi pendapat serta saling memberi dorongan antara satu sama lain menjadi kunci kejayaan pada hari ini. 

“Pelbagai cabaran dan dugaan kami lalui sebagai pasangan suami isteri sepanjang mengikuti pengajian PJJ ini akan menjadi kenangan manis yang tidak akan dilupakan. Namun dugaan yang dilalui tidak mematahkan semangat kami untuk terus menghabiskan pengajian sehingga ke pengakhirannya.

“Buat graduan dan bakal graduan di luar sana, rancanglah masa sebaiknya untuk belajar. Jaga hubungan dengan Allah, ibu bapa, pensyarah, majikan, rakan sekuliah dan rakan sekerja. Berumahtangga dan mempunyai anak-anak bukanlah alasan untuk kita tidak menimba ilmu dan berada di menara gading,” katanya.

Mazrina dan Fairulnizam antara 670 graduan yang menerima ijazah daripada Pro-Canselor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah pada sesi ketiga, petang semalam.