UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pasukan debat Tionghua USM juara Piala Dunia, wakil Asia Tenggara ke China

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fairus Md Isa/USM

GELUGOR: Pasukan Debat Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah muncul sebagai johan keseluruhan dalam Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia Peringkat Asia Tenggara 2023 yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1 (DPS1), Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA), USM.

Pertandingan yang berlangsung dari 25 hingga 26 Mac itu menyaksikan 5 pasukan terbaik berentap daripada 15 penyertaan universiti-universiti dari Malaysia dan Singapura.

Kemenangan pasukan USM itu sekali gus melayakkan mereka mewakili Asia Tenggara ke peringkat akhir di Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia di China yang akan diadakan pada Ogos depan.

Pasukan Debat Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) akan mewakili Asia Tenggara ke China dalam Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia yang akan berlangsung pada Ogos depan.

Pasukan USM diwakili oleh Teo Zhi Zhen (Pusat Pengajian Pengurusan), Shiji Yin (Pusat Pengajian Teknologi Industri), Cheah Mee Yee (Pusat Pengajian Sains Komputer), Yan Han (Pusat Pengajian Bahasa, Literasi Dan Terjemahan), Chew Li Liang (Pusat Pengajian Sains Kajihayat) dan Loh Qian Qian (Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan).

Dalam pusingan akhir, USM telah menewaskan pasukan Universiti Malaya (UM) yang dinobatkan sebagai naib johan keseluruhan pertandingan dengan usul ‘Sekiranya AI Dapat Memenangi Manusia Dalam Dunia Perdebatan, Adakah Ia Perkara Yang Menggembirakan Atau Menyedihkan?’.

Majlis perasmian penutupan pertandingan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Lim Hui Ying.

Dalam ucapan beliau berkata, pertandingan debat yang cemerlang itu telah menonjolkan kemahiran berdebat yang tinggi oleh pendebat-pendebat pertandingan.

Hui Ying (tengah) merasmikan penutup Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia Peringkat Asia Tenggara 2023, baru-baru ini.

Pengerusi PBT USM, Choo Xuan Ping mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menyumbang dalam meneruskan legasi persatuan selama 53 tahun itu, sekali gus telah melonjakkan PBT sebagai persatuan universiti berunsurkan bahasa dan kebudayaan Tionghua yang tertua di Malaysia.

“Pertandingan yang dianjurkan oleh ahli jawatankuasa Unit Debat ini telah membuktikan bahawa mahasiswa dan mahasiswi USM mampu menganjurkan sesebuah program yang berperingkat serantau Asia Tenggara,” katanya.

Selain menjadi juara keseluruhan, pendebat terbaik turut dianugerahkan kepada pelajar Tahun 4, Teo Zhi Zhen yang juga merupakan ketua kumpulan pasukan USM.

Menurut Zhi Zhen, harapannya bersama ahli pasukan adalah untuk memenangi Piala Dunia pertandingan itu di mana seluruh ahli pasukan akan terus berusaha keras untuk mencapai sasaran untuk menjadi juara di peringkat antarabangsa.