Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today
SINTOK: Peluang yang ditawarkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis kepada anggotanya untuk melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) dimanfaatkan sebaiknya apabila 23 pegawai polis pelbagai pangkat berjaya menerima ijazah Sarjana Sains (Pengajian Strategik) pada Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.
Salah seorang graduan, Inspektor Zaitul-Najahah Abd Patah, 39, berkata, peluang diberikan itu semestinya dinanti-nantikan kerana ia menjadi salah satu kelebihan untuk kenaikan pangkat dengan memiliki tahap pendidikan lebih tinggi.

Menurutnya, apabila mengetahui tawaran tersebut, beliau bersama suami mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian walaupun mengetahui bakal menghadapi cabaran untuk membahagikan masa antara kerjaya, keluarga dan belajar.
“Cabaran yang saya kena hadapi ialah apabila saya dan suami perlu menghadiri kelas bersemuka, jadi terpaksa meminta pertolongan jiran untuk mengasuh tiga anak kami.
“Namun pengorbanan ini berbayar apabila kami berdua dapat bergraduasi di hari sama bersama rakan seangkatan lain,” ujarnya.
Kejayaan mereka pada hari ini yang merupakan graduan dari kohort ketiga bagi program pengajian berkenaan adalah hasil kerjasama strategik di antara Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS) dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis sejak September 2020.
Dekan SoIS, Prof. Madya Dr. Nazariah Osman berkata, graduan dari kohort ketiga ini telah memulakan pengajian mereka pada Januari 2022 dan dengan pelaksanaan sistem trimester dan komitmen yang jitu daripada pegawai dan tenaga pengajar.
“Secara keseluruhan, seramai 58 pegawai pelbagai pangkat dari IPK Perlis telah berjaya mengikuti program ini dan merupakan alumni UUM.
“Selain itu, UUM juga menghasilkan 15 graduan terdiri daripada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), Kementerian Luar Negeri yang merupakan graduan sulung Sarjana Sains (Pengajian Strategik) di mana sesi pengajaran dan pengajian mereka telah bermula pada September 2021,” katanya.

Tambah beliau, kekangan tugas dan pelbagai cabaran lain termasuk pandemik Covid-19 yang melanda dunia sama sekali tidak mematahkan semangat mereka untuk menamatkan pengajian mengikut perancangan yang telah ditetapkan.
Dr. Nazariah berkata, kejayaan pada hari ini sekali gus membuktikan pentingnya kerjasama strategik di antara pihak universiti dengan pihak industri bagi menjayakan usaha agenda pembelajaran sepanjang hayat dan merakyatkan universiti.
Kesemua graduan SoIS itu menerima ijazah sarjana masing-masing yang disampaikan Pro-Canselor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah pada sesi kedua, semalam. – Nor Erna Mohamad Adam (Pelajar Pelatih dari SMMTC)