UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Pekerja mogok tuntut kenaikan gaji

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

PARIS: Ribuan pekerja loji penapisan minyak menyertai mogok di seluruh Perancis, semalam bagi menuntut gaji yang lebih tinggi susulan kadar inflasi terus melambung.

Ia secara tidak langsung menyebabkan protes dalam kalangan pekerja penapisan minyak semakin meluas dengan kebanyakan perkhidmatan di stesen minyak tergendala sehingga menyukarkan perjalanan jutaan pemandu kenderaan.

Mogok itu menyebabkan gangguan pengangkutan walaupun agak sedikit berbanding dijangkakan, meskipun kesatuan sekerja sebelum ini telah berikrar bahawa tindakan lanjut terhadap Presidennya, Emmanuel Macron dibuat dalam tempoh beberapa minggu akan datang khususnya berkaitan pembaharuan pencen yang akan dilaksanakan.

Menteri Dalam Negeri berkata, seramai 107,000 pekerja menyertai perhimpunan itu di seluruh negara termasuk 13,000 pekerja di Paris.

Anggaran itu jauh tersasar berbanding yang dilaporkan Kesatuan General Confederation of Labour (CGT) iaitu seramai 70,000 pekerja.

Penunjuk perasaan antikapitalis, ‘black bloc’ turut menyertai demonstrasi di ibu negara dengan menyembur grafiti dan memecahkan tingkap di sebuah bank dan pengedar BMW sebelum dileraikan oleh polis rusuhan.

Kementerian itu berkata, seramai 11 individu telah ditahan di Paris, manakala empat lagi individu ditahan di lokasi lain. Selain itu, sembilan pegawainya turut mengalami kecederaan dalam pertembungan dengan penunjuk perasaan.

Mogok yang terus meluas itu berlaku selepas pekerja di beberapa kilang penapisan dan depoh minyak yang dikendalikan oleh syarikat gergasi, TotalEnergies mengundi untuk melanjutkan pemberhentian depoh minyak yang kini memasuki minggu ketiga.

Sekatan itu telah mengganggu pengedaran bahan api yang kini semakin kritikal di seluruh negara, terutama di utara dan tengah Perancis dan wilayah Paris.

“Kami menuntut kenaikan gaji sebanyak 10 peratus berikutan kos sara hidup dan kos tenaga semakin meningkat, kami memerlukannya… semakin ramai pekerja miskin,” kata salah seorang pekerja, Laurent Leger, 59, pada sesi protes di Paris.

Untuk rekod, mogok membabitkan pekerja loji penapisan minyak di Perancis terus berlanjutan selepas menolak kadar gaji baharu ditawarkan syarikat gergasi TotalEnergies.

Ia membayangkan krisis bahan bakar semakin teruk menjelang mogok umum sektor awam pada minggu depan. – AFP